Sumbangan Tunai Rahmah akan masuk akaun mulai Rabu ini – Anwar

- Advertisement -

KUALA LUMPUR- Seramai 8.4 juta rakyat bakal menerima bayaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 2 melibatkan bayaran RM100 sehingga RM650 yang akan dikreditkan mulai Rabu ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan telah menambah peruntukan program subsidi bersasar STR Fasa 2 sebanyak 20 peratus kepada RM1.5 bilion berbanding RM1.26 bilion pada tahun lepas.

“Selain dikreditkan ke dalam akaun penerima, sumbangan tersebut akan disalurkan secara tunai melalui Bank Simpanan Nasional (BSN) secara berperingkat- peringkat mengikut kategori kelayakan STR masing-masing,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, reformasi ekonomi yang diterajui Kerajaan Madani bukan semata-mata untuk memperbetul struktur kewangan negara, tetapi ia berbekalkan niat ikhlas untuk memastikan kekayaan negara dapat dikongsi dengan rakyat secara lebih saksama.

“Insya-Allah, kerajaan akan tingkatkan lagi bantuan tunai kepada rakyat sejajar dengan penambahbaikan fiskal negara termasuk pelaksanaan penyasaran subsidi kepada golongan yang benar-benar memerlukan,” ujar beliau.

Menurutnya, kerajaan telah mengambil pendekatan baharu untuk membuka pendaftaran STR 2024 sepanjang tahun bagi memberi peluang kepada lebih ramai rakyat mendapat manfaat daripada bantuan.

“Oleh itu, bilangan penerima yang layak dijangka terus meningkat pada tahun ini mengambil kira proses permohonan baharu dan kemas kini yang dijalankan sepanjang tahun berbanding setahun sekali sebelum ini.

“Sekiranya nama pemohon tiada dalam pangkalan data STR, mereka perlu membuat permohonan bagi membolehkan proses verifikasi mengikut kategori kelayakan STR dimuktamadkan,” katanya.

Semakan status kelayakan STR dan soalan lazim (FAQ) boleh didapati di Portal Rasmi STR, melalui pautan https://bantuantunai.hasil.gov.my.

Kementerian Kewangan ingin menasihati penerima STR agar sentiasa berwaspada dengan pautan yang tidak sahih oleh pihak tidak bertanggungjawab bagi mendapatkan maklumat berkaitan program STR.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat