Anuar persiap mental, emosi

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Bakal menyertai misi kemanusiaan bersama ahli Pertubuhan Syria Care (SC) di Lubnan pada 10 April depan, penyanyi Anuar Zain sudah mempersiapkan diri terutama dalam aspek mental dan emosi dalam melalui pengalaman baharu berdepan keperitan hidup pelarian.

Sudah mendapat gambaran awal mengenai keadaan di negara itu serta menonton rakaman video memaparkan kekejaman yang berlaku, Anuar memohon agar diberi kekuatan berdepan situasi yang pasti menyentuh emosi dan naluri kemanusiaannya.

“Selepas diberi penerangan mengenai keadaan pelarian Syria dan menyaksikan sendiri bagaimana kanak-kanak putus tangan, tertimbus di celahan bangunan serta terkapai-kapai menjaga diri sendiri selepas kehilangan orang tua, saya akhirnya mengalirkan air mata.

“Luluh hati melihat ada kanak-kanak yang hanya memakai selipar tanpa stokin ketika musim sejuk dan susu di bawah 10 darjah selsius.

“Justeru untuk misi ini nanti, saya mohon supaya diberi kekuatan dari segi mental dan hati untuk tabah berdepan situasi menyayat hati itu.

“Saya tidak mahu tampak lemah di mata mereka. Saya berharap misi kami untuk menghantar bantuan makanan dan keperluan lain lancar dan diredai Allah” katanya pada sidang media Misi Kemanusiaan Syria Care 13.0 di Shah Alam, Selasa lalu.

 

Anuar dan Siti Sakinah pada sidang media Misi Kemanusiaan Syria Care 13.0 di Shah Alam, Selasa lalu. Foto NSTP Faiz Anuar
Anuar dan Siti Sakinah pada sidang media Misi Kemanusiaan Syria Care 13.0 di Shah Alam, Selasa lalu. Foto NSTP Faiz Anuar

 

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Syria Care, Siti Sakinah Meor Omar Baki.

Berkongsi pembabitannya dalam program amal itu, penyanyi Andainya Takdir itu memberitahu, semuanya berlaku secara spontan tanpa perancangan rapi

“Pada awalnya, kami berbincang untuk projek lain. Namun, disebabkan kesuntukan masa, projek itu terpaksa dibatalkan.

“Menerusi perbincangan itu, tiba-tiba idea untuk melakukan misi kemanusiaan ini tercetus. Saya bersetuju untuk terbabit sama.

“Sebagai manusia, kita ada tanggungjawab untuk memberi kesenangan kepada orang sekeliling terutama keluarga, saudara-mara dan jiran tetangga.

“Bantuan itu mungkin dalam bentuk waktu, tenaga atau wang ringgit. Selepas kita puas kongsi kesenangan kita itu pada orang sekeliling, tentunya kita ingin panjangkan lagi kepada pihak lain yang memerlukan seperti golongan pelarian ini,” katanya.

Mengulas pandangan sesetengah pihak yang berpandangan skeptikal terhadap kemampuannya berdepan cabaran melaksanakan misi kemanusiaan itu, Anuar atau nama penuh, Shahrul Anuar Zain, berkata dia percaya dengan aturan Tuhan.

Anuar yakin semua urusannya akan dipermudahkan.

“SC sudah memberi taklimat mengenai apa yang bakal berlaku di sana. Sejujurnya, saya sendiri tidak sabar untuk menempuh pengalaman berpuasa selama 17 jam.

“Saya juga dimaklumkan, ada ketika kami akan menginap di hotel, di rumah orang atau tidur di mana-mana sahaja.

“Saya tak kisah itu semua. Misi kali ini, saya akan redah sahaja. Tak perlu bermewah-mewah atau terlalu nak jaga penampilan.

“Doa saya semoga kami semua sihat dan urusan untuk menghantar bantuan makanan, khemah dan segala keperluan lain seperti yang diamanahkan dipermudahkan,” katanya.

Misi kemanusiaan bertujuan mengumpul dana RM225,000 bagi membantu kira-kira kurang 1,000 keluarga di negara bergolak itu.

Individu yang ingin menyumbang terutama menaja set iftar serendah RM15 atau pek makanan kering bernilai RM150 boleh berbuat demikian melalui pautan khas Anuar Zain iaitu donate.syriacare.org.my/order/form/oderfood/.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat