Oleh Zihan Zari
NANNING – Delegasi Politeknik Ungku Omar (PUO) diketuai oleh Timbalan Pengarah Akademiknya, Norman Zamri telah mengadakan lawatan rasmi ke Pusat Pameran dan Pusat Data Guangxi Hande Group Co. Ltd., sebuah syarikat terkemuka dalam pembangunan teknologi Kecerdasan Buatan atau Artificial Intelligence (AI) di Nanning, China baru-baru ini.
PUO dalam satu kenyataan berkata lawatan strategik ini bertujuan memahami kemajuan terkini dalam teknologi AI.
Selain itu, membuka ruang kepada kerjasama dalam aspek latihan dan penyelidikan yang mampu memberi manfaat kepada kedua-dua pihak.
“Lawatan ini menandakan satu langkah penting dalam hubungan dua hala bagi PUO terus mengorak langkah dalam memperkukuh keupayaan teknologi dengan meneroka peluang kerjasama dalam teknologi AI di peringkat antarabangsa.
“Semasa di sini, delegasi PUO berpeluang meninjau secara langsung operasi syarikat tersebut yang memimpin dalam inovasi AI, melibatkan sektor pembuatan, pertanian, automasi, dan pendidikan.
“Teknologi yang dipamerkan telah memberi inspirasi kepada PUO dalam menerapkan pendekatan baharu bagi memperkasakan pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET) di Malaysia, ”kata kenyataan itu pada Jumaat.
“Selain itu, lawatan turut merangkumi kunjungan hormat ke Guangxi University, Guangxi Vocational and Technical College of Finance, serta Guangxi Vocational and Technical College of Industry.
Dalam pertemuan itu, perbincangan diadakan bagi memberi peluang kepada PUO untuk meneroka model pembelajaran serta infrastruktur sokongan pendidikan AI yang diterapkan di institusi-institusi ini, ”katanya.
Norman berkata kerjasama dengan entiti antarabangsa seperti Hande Group Co. Ltd. dan institusi pendidikan di China membuka ruang kepada PUO untuk membawa teknologi AI ke dalam bilik darjah dan makmal di Malaysia.
Menurutnya, teknologi AI bukan sekadar alat bantu pembelajaran, malah pemacu transformasi dalam kaedah pengajaran, menjadikan proses pembelajaran lebih efisien, interaktif, dan relevan dengan keperluan industri semasa.
“PUO komited untuk membawa manfaat teknologi ini kepada pelajar serta tenaga pengajar kami.
“Sebagai langkah susulan, delegasi Hande Group Co. Ltd. telah mengadakan lawatan balas dan berpeluang meninjau fasiliti PUO, termasuk makmal dan pusat penyelidikan, serta mengenal pasti potensi kolaborasi dalam membangunkan tenaga mahir dalam bidang AI.
“Inisiatif ini dijangka membuka lebih banyak peluang bagi pelajar dan tenaga pengajar PUO dalam meneroka aplikasi teknologi canggih untuk meningkatkan daya saing pendidikan TVET di peringkat global, ”katanya lagi. – SUARA.TV