Seorang remaja lelaki yang hilang selama 10 hari ketika mendaki di wilayah Shaanxi, China, berjaya bertahan dengan hanya meminum air sungai, mencairkan salji, dan makan ubat gigi sebagai sumber tenaga. Kejadian ini dilaporkan oleh South China Morning Post yang menyebut Sun Liang, 18, memulakan pendakian solo di pergunungan Qinling pada 8 Februari sebelum dia kehilangan hubungan dengan keluarganya.
Selepas dua hari mendaki, peralatannya kehabisan bateri, menyebabkan dia tidak dapat menghubungi sesiapa. Sun cuba bergerak turun mengikuti aliran anak sungai tetapi mengalami beberapa insiden terjatuh yang mengakibatkan lengannya patah.
Tanpa bekalan makanan, dia terpaksa bertahan dengan meminum air sungai, mencairkan salji dan memakan ubat gigi. Untuk melindungi diri daripada angin sejuk yang ekstrem, dia berlindung di belakang batu besar dan membina tempat tidur menggunakan jerami serta daun kering.
Selepas keluarganya melaporkan kehilangan Sun kepada pasukan penyelamat, operasi mencari dan menyelamat dilancarkan. Pada 17 Februari, Sun ternampak asap dari unggun api yang dinyalakan pasukan penyelamat. Dia menjerit meminta pertolongan dan akhirnya berjaya diselamatkan.
Sun berkongsi pengalaman ngerinya selepas diselamatkan, “Saya sangat takut. Tempat ini langsung tidak sesuai untuk mendaki. Angin terlalu kuat, salji tebal hingga saya hampir tidak boleh membuka mata, dan laluannya sangat sukar.”

Beliau juga memberi amaran kepada pendaki lain supaya tidak mencuba laluan Ao-Tai Line, kerana ia terlalu berbahaya dan boleh meragut nyawa.
Operasi menyelamat Sun melibatkan lebih 30 anggota penyelamat dan menelan belanja sebanyak 80,000 yuan (RM63,000) yang perlu ditanggung oleh keluarganya.
Menurut seorang anggota pasukan penyelamat, mereka mengenakan bayaran bagi operasi sedemikian untuk menghalang pendaki mengambil risiko di laluan yang terkenal dengan kemunculan haiwan liar berbahaya seperti beruang, antelop dan babi hutan.
“Beberapa anggota kami turut mengalami kecederaan semasa operasi ini,” tambahnya.
Dalam tempoh 20 tahun terakhir, lebih daripada 50 pendaki telah dilaporkan hilang atau meninggal dunia di laluan berbahaya ini.