BN Janji Realisasi Projek Terbengkalai Perumahan Generasi Kedua Felda Jika Menang

PAGOH- Mengakui pertukaran kerajaan merencatkan pembinaan projek perumahan generasi kedua Felda, calon Barisan Nasional (BN) Bukit Kepong, Ismail Mohamed berazam akan meneruskan usaha terbengkalai tersebut sekiranya diberi peluang sekali lagi oleh pengundi.

Ketua UMNO Bahagian Pagoh itu juga mengakui peruntukan untuk projek pembinaan rumah mampu milik buat generasi kedua Felda itu masih ada di dalam tabung namun pelaksanaannya terencat selepas Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) mengambil alih kerajaan.

“BN tak jadi kerajaan, terbantut… tak dapat buat apa-apa seperti dirancangkan terutamanya rumah mampu milik, projek terbengkalai.

“Kita rancang nak bina 4,000 unit rumah mampu milik. Tapi bila PH, PN ambil alih, mereka ubah dasar.

“… ada duit lagi kat tabung. Oleh itu, saya tak ada pilihan, kita kena menangkan BN, kita nak betulkan keadaan,” katanya dalam ceramah di Felda Seri Jaya, Bukit Serampang, Bukit Kepong malam tadi.

Ismail yang juga bekas ADUN Bukit Serampang yang kini dikenali sebagai DUN Bukit Kepong memberitahu BN tidak akan sesekali meminggirkan peneroka Felda kerana ia merupakan aset penting.

“Felda aset kita, oleh itu kita akan cuba sedaya upaya untuk bantu generasi kedua supaya orang muda tidak keluar berhijrah.

“Kita sedar orang muda keluar sebab tiada peluang pekerjaan, rumah. BN akan cuba memakmurkan kawasan Felda supaya orang muda tinggal di sini, tak lari.

“Inilah peluang terbaik untuk kita ubah, cukuplah kita bagi peluang itu hari. Mereka tak manfaatkan menyebabkan pembangunan kita terencat,” keluh Ismail.

Berdepan saingan hebat daripada bekas Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal dalam pertembungan empat penjuru di DUN Bukit Kepong tidak melemahkan semangat Ismail untuk menawan semula hati pengundi di situ.

“Saya anggap ini pertandingan lapangan yang sama saja, masing-masing ada kelebihan. Cumanya dari segi saya pernah jadi wakil rakyat di sini suatu ketika dulu banyak usaha-usaha yang cuba saya bangunkan terencat dan saya cuba sebaik mungkin untuk kembalikan balik apa-apa yang saya rancang.

“… dan saya penuh yakin, rakyat di sini memang memerlukan pemimpin yang dapat buat penambahbaikan ataupun meneruskan usaha-usaha,” ujar Ismail.

Tegas beliau lagi, UMNO-BN ada strategi tersendiri untuk menjadi juara di hati pengundi.

“Kita ada PDM-PDM semua ada jentera untuk pastikan setiap tempat ada pengundi putih, kita dah kenal pasti pengundi putih… itu yang kita kena jaga.

“Saya yakin dengan strategi yang kita ada kita buat macam di Melaka kita akan menang besar juga di Johor,” yakin beliau.