SEREMBAN,– Pertubuhan Lima Generasi Malaysia merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan atas peruntukan sebanyak RM2 juta yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bagi menyokong pembangunan dan pemerkasaan seni mempertahankan diri negara.
Menurut pertubuhan itu, peruntukan tersebut mencerminkan komitmen kerajaan dalam mengangkat seni mempertahankan diri sebagai warisan bangsa yang bernilai tinggi, bukan sahaja dari sudut kebudayaan dan sukan, malah sebagai elemen pembinaan jati diri serta benteng pertahanan negara.
Pertubuhan Lima Generasi Malaysia memaklumkan dana itu akan dimanfaatkan secara berfokus dan berimpak tinggi termasuk pembangunan atlet dan jurulatih, penambahbaikan kemudahan latihan, penganjuran kejohanan serta usaha memperluas promosi seni mempertahankan diri tempatan ke peringkat nasional dan antarabangsa.
Pengasas dan Presidennya, Datuk Abdullah Ghani Kassim, berkata peruntukan itu menjadi pemangkin penting untuk melaksanakan program pembangunan secara lebih tersusun dan profesional.
Beliau berkata dana tersebut akan digunakan bagi menaik taraf prasarana latihan, menyediakan peralatan asas, memperluas kapasiti gelanggang serta memperkukuh laluan pembangunan atlet ke arah melahirkan pesilat dan atlet tempur bertaraf dunia.
Dalam perkembangan berkaitan, pertubuhan itu memaklumkan Majlis Apresiasi Pendekar Negara di Seremban malam tadi merupakan manifestasi awal pelaksanaan inisiatif tersebut, selain menjadi penganjuran sulung pertubuhan berkenaan hasil sokongan dana khas Perdana Menteri.
Pertubuhan itu turut menyambut baik penegasan Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin, mengenai usaha kerajaan memperluas pengenalan seni persilatan dalam sistem pendidikan negara termasuk menjadikan silat sebagai aktiviti kokurikulum di sekolah.
Majlis berkenaan menyaksikan penyampaian enam kategori anugerah utama bagi menghargai tokoh, atlet, jurulatih serta pertubuhan silat yang banyak menyumbang kepada pembangunan seni mempertahankan diri negara.
Bagi Anugerah Pertubuhan Silat Terpilih, enam pertubuhan menerima insentif RM70,000 setiap satu bagi tujuan pembangunan silat.
Manakala Anugerah Jasa Silat pula dianugerahkan kepada lima tokoh yang telah mengharumkan nama Malaysia di peringkat antarabangsa dengan setiap penerima menerima insentif RM10,000.
Tiga atlet Muay Thai negara iaitu Johan Ghazali (Jojo Ghazali), Aliff Rakib dan Rifdean Masdoor turut menerima insentif RM10,000 menerusi kategori Anugerah Ikon Tempur Anak Muda.
Selain itu, anugerah Duta Silat turut disampaikan kepada selebriti terkenal termasuk Eman Manan, Ebby Yus dan Beto Kusyairi atas peranan mempopularkan silat melalui medium seni dan budaya.
Pertubuhan Lima Generasi Malaysia menegaskan komitmen untuk terus bekerjasama rapat bersama kerajaan serta semua pemegang taruh bagi memastikan kesinambungan warisan dan kecemerlangan seni tempur tanah air.-SuaraTV



