DUNGUN – Selepas lebih seminggu ‘berkampung’ dan menjadi penghuni tetap di pusat pemindahan sementara (PPS), 463 mangsa di dua kampung di daerah ini akhirnya pulang ke kediaman masing-masing.
Walaupun keadaan rumah tidak sempurna, namun, penduduk di Kampung Shukor dan Kampung Pasir Raja kembali menjalani kehidupan harian selepas dibenarkan pulang secara berperingkat, hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman berkata, setakat ini, kerja pembersihan rumah penduduk di Kampung Shukor dan Kampung Pasir Raja hampir selesai.
Beliau berkata, kerja membersihkan kawasan yang terjejas dilaksanakan bermula Jumaat membolehkan penduduk kembali ke rumah dan meneruskan rutin mereka seperti biasa selepas ini.
“Misi kita sudah bermula daripada Jumaat dan setakat ini, kita boleh kata dalam 80 peratus sudah siap cuma tinggal di bahagian luar dan pinggan mangkuk yang belum dibersihkan.
“Insya-Alllah, kita jangka kerja-kerja pembersihan dapat diselesaikan esok,” katanya.
Banjir gelombang keempat yang bermula 23 Januari lalu menyaksikan Dungun menjadi daerah yang paling terjejas.
Ia susulan banjir besar yang berlaku pada 25 Januari lalu di daerah berkenaan menyebabkan tiga buah rumah hanyut dan satu daripadanya hanya tinggal tangga dan tiang rumah di Kampung Shukor, Hulu Dungun.
Kejadian itu disifatkan bencana terburuk pernah dilalui mereka dalam tempoh 60 tahun di kampung berkenaan. – Hmetro