Bersatu yang menang di Padang Rengas, bukan Wawasan – Dr Hashim

PADANG RENGAS – Bersatu mengingatkan Parti Wawasan Negara (Wawasan) bahawa kerusi Parlimen Padang Rengas dimenangi oleh Bersatu, bukan Wawasan, pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Chandan, Dr Hashim Bujang, berkata Bersatu sudah membincangkan langkah untuk mempertahankan kerusi berkenaan.

“Ini Parlimen Padang Rengas, kerusi Bersatu. Calon yang bertanding sebelum ini ialah calon Bersatu, bukan calon Wawasan. Jadi, ini kerusi kita. Apa pun yang berlaku, kerusi ini perlu kita pertahankan.

“Kita sudah bincangkan bagaimana cara untuk mengekalkan Padang Rengas sebagai kerusi Bersatu,” katanya.

Kenyataan Dr Hashim itu menyusuli pertikaian antara Ahli Parlimen Padang Rengas, Azahari Hasan, yang kini bersama Wawasan, dengan Ketua UMNO Bahagian Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, mengenai kerusi itu menjelang PRU16.

Azahari sebelum ini menegaskan beliau mahu mempertahankan Padang Rengas atas tiket Perikatan Nasional (PN) selepas Nazri menyatakan hasrat untuk kembali bertanding di kerusi yang diwakilinya selama empat penggal dari 2004 hingga 2022. Menurut Azahari, hasrat Nazri itu merupakan pendirian peribadi dan tidak mewakili Barisan Nasional (BN).

Menjawab pendirian Azahari, Nazri berkata Wawasan tidak berhak menuntut Padang Rengas kerana penyandangnya memenangi kerusi itu ketika masih bersama Bersatu. Dalam temu bual yang disiarkan Malaysiakini pada 27 November, Nazri berkata UMNO wajar bertanding di kerusi yang dimenangi Bersatu pada PRU15 dan mahu soal pembahagian kerusi dirundingkan terus dengan PAS tanpa melibatkan Wawasan.

BN dan PN telah menjalin kerjasama pilihan raya di Negeri Sembilan dan Melaka. Sekiranya kerjasama itu diteruskan pada PRU16, Padang Rengas menjadi antara kerusi yang perlu dirundingkan berikutan hasrat UMNO untuk kembali bertanding dan pendirian Azahari untuk mempertahankannya atas tiket PN.

Pada PRU15, Azahari bertanding sebagai calon Bersatu atas tiket PN dan menewaskan calon BN, Arrif Abdul Majid, dengan majoriti 3,046 undi. Azahari menyertai Wawasan selepas dipecat daripada Bersatu pada Februari lalu.

Penubuhan Wawasan diumumkan oleh bekas Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin, pada 13 Jun lalu. Parti itu secara rasmi menjadi komponen PN pada 6 Julai selepas Jabatan Pendaftaran Pertubuhan meluluskan pertukaran nama Parti Cinta Malaysia kepada Parti Wawasan Negara.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat