KUALA LUMPUR- Aplikasi penstriman rasmi Radio Televisyen Malaysia (RTM), RTMKlik, merekodkan peningkatan ketara dengan jumlah muat turun mencecah 11.2 juta, termasuk sumbangan 3.6 juta muat turun baharu hasil tarikan kejohanan bola sepak Piala Dunia FIFA.
Ketua Pengarah Penyiaran Malaysia, Datuk Ashwad Ismail berkata, pencapaian itu menunjukkan peningkatan penggunaan platform berkenaan berbanding tahun sebelumnya.
Beliau berkata, RTMKlik merekodkan 4.5 juta muat turun pada 2024 sebelum meningkat kepada 6.7 juta pada 2025, seterusnya melonjak kepada 11.2 juta setakat ini.
“Jika dilihat secara keseluruhan, kita merekodkan 4.5 juta muat turun pada 2024 sebelum meningkat kepada 6.7 juta pada 2025, dan kini melonjak kepada 11.2 juta muat turun,” katanya menerusi perkongsian video bersama Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil.
Menurut Ashwad, penganjuran kejohanan bola sepak Piala Dunia FIFA turut menjadi antara pemangkin utama pertambahan muat turun apabila menyumbang sebanyak 3.6 juta muat turun baharu.
Sementara itu, Fahmi berkata, RTMKlik menyediakan akses percuma kepada pelbagai kandungan tempatan, termasuk siaran televisyen, radio, berita dan liputan sukan tanpa mengira lokasi dan masa.
“Dengan RTMKlik, anda boleh menikmati siaran televisyen, mendengar radio, menonton berita, sukan dan pelbagai kandungan tempatan. Seperti yang selalu kita sebut, muat turun RTMKlik, segalanya percuma,” katanya.
Justeru mereka merakamkan penghargaan kepada orang ramai atas sokongan dan kepercayaan berterusan terhadap RTM.



