PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sarawak membuka lima bilik gerakan bagi membolehkan orang ramai menyalurkan maklumat dan membuat aduan berhubung rasuah serta salah guna kuasa sepanjang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13.
SPRM dalam kenyataan hari ini memaklumkan kelima-lima bilik gerakan itu beroperasi 24 jam sehari mulai hari penamaan calon hari ini hingga hari pengundian pada 12 Disember.
Bilik gerakan itu dibuka di pejabat SPRM Sarawak di Jalan Laksamana Cheng Ho, Kuching, serta di pejabat cawangan Sibu di Wisma Persekutuan, Jalan Persiaran Brooke, dan cawangan Miri di Bangunan Persekutuan, Jalan Cahaya Lopeng.
Dua lagi bilik gerakan dibuka di pejabat SPRM cawangan Bintulu di Wisma Persekutuan Fasa II, Jalan Tun Razak, dan cawangan Limbang di Jalan Muhibbah.
Orang ramai juga boleh membuat aduan menerusi e-mel [email protected] atau menghubungi talian 011-6070 0794.
SPRM memberi jaminan bahawa semua maklumat dan aduan yang diterima akan diteliti dan tindakan sewajarnya akan diambil secara profesional, telus serta mengikut undang-undang yang berkuat kuasa.
SPRM turut mengingatkan calon dan parti politik yang bertanding supaya mematuhi peraturan pilihan raya serta peruntukan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) dan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Akta 5).
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 8 Disember sebagai hari pengundian awal dan 12 Disember sebagai hari pengundian.
Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak dibubarkan berkuat kuasa 26 Oktober bagi memberi laluan kepada PRN Sarawak ke-13.


