Jangan gadai kepentingan veteran ATM, MCW tuntut penjualan Boustead ditangguh

KUALA LUMPUR – Kepentingan kewangan dan simpanan persaraan anggota serta veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak harus dikorbankan menerusi transaksi korporat yang masih dibelenggu persoalan tatakelola, ketelusan dan kemungkinan konflik kepentingan.

Atas kebimbangan itu, Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) mendesak cadangan pengambilalihan Boustead Plantations Berhad bernilai RM4.3 bilion oleh Achi Jaya Plantations Sdn Bhd ditangguhkan sehingga semua persoalan berbangkit dijawab secara terbuka.

Presidennya, Jais Abdul Karim berkata, Boustead Plantations bukan sekadar sebuah syarikat perladangan, sebaliknya aset strategik yang mempunyai kaitan langsung dengan kepentingan kewangan serta masa depan anggota dan veteran ATM.

“Aset strategik negara bukan milik mana-mana pemimpin, penasihat ekonomi atau kelompok korporat. Ia merupakan amanah yang wajib diurus dengan penuh integriti dan tanggungjawab,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Menurut Jais, MCW mengambil maklum penjelasan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) bahawa transaksi berkenaan bertujuan mengukuhkan kedudukan kewangan dan mempelbagaikan portfolio pelaburannya.

Bagaimanapun, katanya, alasan komersial tidak boleh dijadikan asas untuk mengetepikan tuntutan ketelusan dan tatakelola yang baik, terutama apabila transaksi itu membabitkan nilai RM4.3 bilion.

MCW mahu tujuh persoalan utama diperjelaskan, termasuk identiti pemilik benefisial sebenar Grand Shine Trading Ltd dan Herolite Investment Ltd yang dilaporkan menguasai 73.78 peratus saham Achi Jaya.

Persoalan lain membabitkan kedudukan hak mengundi, mekanisme penukaran saham yang berpotensi mengubah kawalan syarikat serta justifikasi pemilihan Achi Jaya berbanding SD Guthrie dan Tradewinds Plantation.

MCW turut meminta penjelasan mengenai sumber pembiayaan pengambilalihan itu, termasuk sama ada aset Boustead sendiri akan digunakan sebagai cagaran.

Selain itu, Jais mempersoalkan kemungkinan wujud hubungan langsung atau tidak langsung antara penasihat ekonomi Perdana Menteri, pegawai kerajaan atau individu berkepentingan dengan pihak yang terlibat dalam transaksi berkenaan.

“Penasihat kerajaan dilantik untuk menjaga kepentingan negara, bukannya kepentingan perniagaan sendiri atau mana-mana kelompok korporat,” tegasnya.

Sehubungan itu, MCW menggesa Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) menjalankan penelitian bebas terhadap transaksi berkenaan, manakala Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diminta menyiasat sekiranya terdapat asas munasabah mengenai penyalahgunaan kuasa atau konflik kepentingan.

MCW menegaskan kepentingan jangka panjang anggota dan veteran ATM perlu menjadi pertimbangan utama, bukannya keuntungan jangka pendek sehingga berisiko menjejaskan amanah yang dipertanggungjawabkan kepada institusi berkenaan.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat