Oleh Zihan Zari
YAN – Jabatan Kesihatan Negeri Kedah (JKN Kedah) telah menjalankan Operasi Penguatkuasaan Bersepadu terhadap premis produk air minuman (air mineral) dekat sini, pada Rabu yang tidak mempunyai lesen untuk mengambil air minuman atau air mineral semulajadi daripada punca air bagi maksud perdagangan atau perniagaan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
JKN Kedah dalam kenyataan berkata, produk air mineral yang dikeluarkan oleh premis tersebut dikesan mengandungi bakteria dan bahan kimia tercemar. Selain itu, premis berkenaan turut didapati beroperasi tanpa lesen perniagaan yang sah di bawah Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (Majlis Daerah Yan) 2011.
“Premis itu juga tidak memiliki lesen pengabstrakan air yang sah daripada Lembaga Sumber Air Negeri Kedah (LSANK) di bawah peruntukan Seksyen 70, Enakmen Sumber Air Kedah 2008.
“Hasil pemantauan mendapati sampel air daripada punca telaga dan air yang telah dibotolkan turut menunjukkan bahawa air tersebut mengandungi bahan tercemar seperti bakteria dan bahan kimia.
“Operasi ini telah melibatkan 80 orang anggota dari pelbagai agensi iaitu JKN Kedah, Pejabat Kesihatan Daerah Yan, Majlis Daerah Yan (MDY), LSANK dan Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) dengan bantuan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM),”kata kenyataan itu.
Katanya, operasi ini bertujuan untuk memastikan pengusaha premis mematuhi pelbagai kehendak perundangan serta melindungi kesihatan dan keselamatan pengguna daripada risiko pengambilan air minuman yang tidak memenuhi standard yang ditetapkan.
“Satu Notis dikeluarkan di bawah Peraturan 360B, Peraturan-Peraturan Makanan 1985 atas kesalahan menjual air minuman berbungkus tidak berlesen dengan nilai kompaun sebanyak RM3,500.
“Selain daripada itu, sitaan produk dan perkakasan di bawah Seksyen 4(1)(f), Akta Makanan 1983 turut dikenakan dengan nilai rampasan sebanyak RM14,241.10.
“MDY juga telah mengeluarkan kompaun sebanyak RM300 atas kesalahan menjalankan perniagaan tanpa lesen, selaras dengan Undang-Undang Kecil 3(1), Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (Majlis Daerah Yan) 2011.
“LSANK turut mengambil tindakan di bawah Seksyen 70, Enakmen Sumber Air Kedah 2008, dengan mengeluarkan notis arahan pemberhentian aktiviti pengabstrakan air serta-merta berikutan aktiviti pengambilan air tanpa lesen yang sah,”katanya lagi.
Ujarnya, pengguna dinasihatkan supaya membaca label dan memastikan produk tersebut mempunyai nombor kelulusan lesen KKM yang sah sebelum membeli sebarang produk Air Minuman Berbungkus (AMB) atau Air Mineral Semula Jadi (AMS).
“JKN Kedah ingin menegaskan bahawa pematuhan terhadap keperluan pelesenan punca air adalah penting bagi memastikan produk air minuman yang berada di pasaran selamat untuk diminum serta tidak mendatangkan sebarang risiko kesihatan kepada pengguna,”ujarnya lagi.
Tambahnya, sebarang maklumat atau aduan berkaitan penjualan produk makanan yang menyalahi Akta Makanan 1983 boleh disalurkan kepada Pejabat Kesihatan Daerah terdekat dengan segera supaya tindakan lanjut boleh diambil atau melalui saluran aduan rasmi KKM seperti Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) di http://moh.spab.gov.my atau talian hotline KKM. – SUARA.TV



