Silk Road Market bakal jadi tarikan terbaru pelancongan keluarga di Genting Highlands

Genting Highlands bakal menerima satu lagi tarikan pelancongan terbaru menerusi pembangunan Silk Road Market di King’s Park yang mengetengahkan konsep pasar mesra Muslim dengan gabungan makanan, seni, kraf tangan dan budaya dari Timur Tengah hingga Asia Timur.

Menariknya, Silk Road Market bukan sekadar sebuah pusat membeli-belah biasa, sebaliknya dibangunkan sebagai destinasi yang menawarkan pengalaman berbeza kepada pengunjung menerusi kepelbagaian sajian, aktiviti kebudayaan serta peluang menyaksikan demonstrasi masakan dan hasil kerja penggiat seni secara langsung.

Projek berkenaan diperkenalkan menerusi sesi taklimat dan pratonton kepada bakal penyewa yang berlangsung di Tun Dr. Ismail Hall, World Trade Centre Kuala Lumpur (WTC KL), hari ini.

Silk Road Market merupakan sebahagian daripada pembangunan bersepadu King’s Park di Genting Permai, Genting Highlands, yang meliputi kawasan seluas 150 ekar dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sekitar RM5.5 bilion.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Silk Road Market, Datin Rita Sosilawati, idea pembinaan pasar berkenaan tercetus daripada keperluan untuk mewujudkan satu tarikan istimewa yang mampu menarik pengunjung ke King’s Park, selain taman tema dan kemudahan lain yang dirancang.

Beliau berkata, konsep Silk Road Market diinspirasikan daripada Laluan Sutera yang suatu ketika dahulu menghubungkan pelbagai negara dan membawa bersama kepelbagaian makanan, hasil seni serta budaya masyarakat dari Timur ke Barat.

Katanya, Malaysia mempunyai keunikan tersendiri kerana masyarakatnya terdiri daripada pelbagai kaum dan budaya, sekali gus memberi peluang untuk menghimpunkan elemen tersebut dalam satu destinasi yang lebih tersusun dan bertaraf antarabangsa.

“Kami mahu mewujudkan sesuatu yang berbeza. Silk Road Market bukan sebuah pusat membeli-belah biasa, tetapi tempat orang datang untuk menikmati makanan, melihat budaya dan mengenali sesuatu yang mungkin tidak pernah mereka temui sebelum ini.

“Kita mahu pengunjung yang datang ke Malaysia menjadikan Silk Road Market sebagai salah satu destinasi yang wajib dikunjungi,” katanya.

Silk Road Market dijangka merangkumi kawasan runcit seluas kira-kira 100,000 kaki persegi dengan lebih 100 kiosk yang dibahagikan kepada empat zon utama iaitu Silk Road Arabic Market, The Silk Road Oriental Market, Souq Souk dan Seni Sana (King’s Park Arts & Craft Market).

Sebanyak 80 peratus ruang perniagaan dirancang untuk sektor makanan dan minuman, manakala baki 20 peratus akan menempatkan produk kebudayaan, seni, kraf tangan serta cenderamata.

Pengunjung bukan sahaja berpeluang mencuba pelbagai jenis makanan, malah dapat menyaksikan demonstrasi masakan, melihat hasil kerja artisan serta menyertai bengkel kraf dan aktiviti yang disediakan sepanjang tahun.

Dalam pada itu, pihak pengurusan turut memberi perhatian kepada pemilihan penyewa bagi memastikan setiap zon menawarkan kepelbagaian produk dan tidak berlaku persaingan secara langsung antara peniaga yang menjual barangan sama.

Datin Rita menjelaskan, pihaknya tidak mengehadkan penyertaan kepada jenama besar atau usahawan daripada kumpulan tertentu sahaja, sebaliknya membuka peluang kepada semua usahawan tempatan dan antarabangsa.

Bagaimanapun, pemilihan akan dibuat secara terancang dengan mengambil kira jenis perniagaan, kategori produk serta lokasi kiosk bagi memastikan pengalaman pengunjung sentiasa menarik.

“Kita tidak mahu pengunjung datang dan mendapati terlalu banyak kedai menjual produk yang sama. Kita mahu setiap bahagian mempunyai identiti tersendiri supaya pengunjung dapat meneroka sesuatu yang berbeza apabila berjalan dari satu zon ke zon lain,” katanya.

Bagi memastikan semua ruang perniagaan bersedia sebelum pembukaan rasmi, pihak pengurusan kini giat mencari dan mengenal pasti bakal penyewa lebih awal, berbanding menunggu sehingga projek siap sepenuhnya.

Malah, kerjasama bersama Savills sebagai rakan strategik penyewaan turut membantu dalam pemilihan serta penyusunan jenama yang bersesuaian, termasuk membawa masuk jenama antarabangsa bagi melengkapkan penawaran produk tempatan.

Pihak pengurusan turut menyediakan pelbagai inisiatif pemasaran bersama penyewa, termasuk promosi, pakej kunjungan dan program seperti Silk Road Golden Passport bagi menggalakkan pengunjung meneroka keseluruhan kawasan tersebut.

Dari sudut kemudahan pula, King’s Park turut menyediakan kawasan khas untuk bas pelancongan berhenti mengambil dan menurunkan penumpang. Usaha mendapatkan kerjasama agensi pelancongan, termasuk pengendali bas dari Singapura, juga sedang dijalankan bagi menjadikan King’s Park sebagai salah satu lokasi persinggahan dalam perjalanan ke Genting Highlands.

Pengunjung turut dijangka menikmati kemudahan pengangkutan ulang-alik yang menghubungkan King’s Park dengan kawasan Genting Premium Outlets (GPO), sekali gus memudahkan pergerakan pelancong di sekitar kawasan berkenaan.

Aspek halal dan mesra Muslim turut menjadi antara keutamaan dalam pembangunan Silk Road Market. Menerusi kerjasama dengan Halal Development Corporation (HDC), pihak pengurusan akan membantu usahawan yang berminat mendapatkan pensijilan halal, termasuk mereka yang masih belum mengetahui proses permohonan dan keperluan berkaitan.

Usaha ini bukan sahaja bertujuan menyediakan lebih banyak pilihan makanan halal kepada pengunjung Muslim, malah membantu usahawan tempatan memahami kepentingan pensijilan halal dalam meningkatkan keyakinan pelanggan terhadap produk dan perkhidmatan mereka.

Konsep mesra Muslim yang diketengahkan juga merangkumi kemudahan untuk menunaikan ibadah serta persekitaran yang selesa untuk keluarga. Pendekatan ini diharap dapat menjadikan King’s Park sebagai destinasi pilihan pelancong Muslim dari dalam dan luar negara.

Pembangunan King’s Park turut merangkumi pelbagai kemudahan lain termasuk ruang acara dan konvensyen seluas kira-kira 50,000 kaki persegi, surau khusus dikenali sebagai Golden Sky Surau serta laluan pejalan kaki tanpa anak tangga yang sesuai untuk pengguna kerusi roda dan keluarga yang membawa kereta sorong bayi.

Antara tarikan lain yang dirancang ialah River Oasis, laluan persiaran sepanjang 500 meter yang menawarkan pengalaman menaiki kereta kuda, selain Kampungku feat. Upin & Ipin yang dijadualkan diperkenalkan pada 2028.

Menurut Pengarah Strategic Partnerships and Investments King’s Park Development, Alice Yong, pihaknya mahu menjadikan King’s Park sebagai destinasi yang menawarkan pengalaman untuk dinikmati bersama keluarga, bukan sekadar tempat untuk membeli-belah.

“Silk Road Market bukan tempat yang dikunjungi hanya untuk membeli-belah. Pengunjung datang untuk menikmati makanan, melihat tradisi dihidupkan, mencuba aktiviti kraf dan membawa pulang kenangan daripada pengalaman tersebut.

“Kami mahu membina sebuah tempat yang mampu menjadi kenangan istimewa kepada setiap pengunjung,” katanya.

Alice berkata, pihaknya mahu meneruskan legasi Genting Highlands dengan membangunkan sebuah destinasi yang mampu mencipta kenangan tersendiri kepada generasi akan datang, sama seperti pengalaman yang pernah dinikmati pengunjung sebelum ini.

Berdasarkan perkembangan semasa, pembinaan King’s Park dilaporkan sudah mencapai kira-kira 90 peratus setakat November 2026, manakala pembukaan Silk Road Market disasarkan pada September 2027, tertakluk kepada kelulusan berkaitan.

Dengan anggaran kehadiran antara enam hingga lapan juta pengunjung setahun, King’s Park dilihat berpotensi menjadi antara destinasi pelancongan terbaru yang menggabungkan elemen perniagaan, makanan, kebudayaan dan aktiviti kekeluargaan di Genting Highlands.

Bagi usahawan yang berminat untuk menyertai Silk Road Market, sesi taklimat berkenaan turut membuka peluang kepada bakal penyewa mendapatkan maklumat mengenai pilihan ruang perniagaan, format operasi dan proses penyewaan sebelum destinasi itu dibuka kepada orang ramai.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat