Hampir 5000 orang anggota polis akan bertugas di 82 kerus DUN Sarawak pada hari penamaan calon – Saifullizan

KUCHING – Sebanyak 4,899 pegawai dan anggota polis akan ditugaskan di seluruh Sarawak pada hari penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13 pada Sabtu ini.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Saifullizan Ishak berkata sebanyak 7,541 pegawai dan anggota pula akan diatur gerak ke semua pusat pengundian pada 12 Dis bagi memastikan proses pilihan raya berjalan lancar dan selamat.

Beliau berkata penugasan itu turut dibantu 251 pegawai dan anggota dari luar kontinjen, terdiri daripada 54 anggota dari Bukit Aman serta 197 anggota dari Kontinjen Sabah.

Saifullizan berkata segala persiapan dan penyelarasan bersama agensi berkaitan, termasuk Suruhanjaya Pilihan Raya serta Jabatan Sukarelawan Malaysia telah dilaksanakan di peringkat kontinjen dan daerah.

“Setakat ini, saya berpuas hati. Kami telah mengadakan mesyuarat penyelarasan, sesi penerangan serta sesi taklimat bersama semua agensi terlibat semalam.

“Semua ini telah dilaksanakan di peringkat kontinjen dan melibatkan semua Ketua Polis Daerah,” katanya ketika ditemui selepas Perhimpunan Bulanan Pesuruhjaya Polis Sarawak di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak di sini hari ini.

Dalam pada itu, Saifullizan turut menegaskan semua warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang terlibat dalam penugasan sepanjang PRN Sarawak perlu memahami peruntukan undang-undang serta bidang tugas masing-masing, selain memastikan setiap tindakan dilaksanakan secara neutral, adil dan profesional.

Saifullizan ketika mengulas mengenai kawasan panas berkata tiada sebarang lokasi berisiko tinggi dikenal pasti setakat ini, mengambil kira rekod keamanan Sarawak pada pilihan raya terdahulu.

Dalam aspek logistik pula, beliau berkata pihaknya menerima peruntukan tambahan bagi menyewa aset pengangkutan, termasuk bot dan bas untuk melancarkan penugasan, khususnya di kawasan pedalaman.

“Di Sarawak, kami ada dua (helikopter) setakat ini. Untuk PDRM, dua sudah mencukupi untuk penugasan tapi kami perlu penambahan bot dan kenderaan,” katanya. —- BERNAMA

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat