KUALA LUMPUR – Semua agensi di bawah Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) diminta menyemak semula proses dan syarat pelesenan bagi mempercepat urusan permohonan lesen dalam sektor agrikomoditi.
Menterinya, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, berkata semakan itu perlu memberi tumpuan kepada langkah yang boleh diringkaskan, penyelarasan panduan di semua saluran dan pengurangan permintaan dokumen yang sama.
“Pemohon sepatutnya menerima panduan yang sama di setiap saluran dan tidak perlu menghantar dokumen yang sama berulang kali,” katanya ketika berucap pada majlis penutup Konvensyen Pelesenan dan Penguatkuasaan Sektor Agrikomoditi 2026 di sini pada Selasa.
Beliau berkata agensi juga perlu memastikan pekebun kecil dan perusahaan kecil, khususnya mereka yang memohon lesen buat kali pertama, mengetahui saluran untuk mendapatkan bantuan.
Menurut Noraini, usaha itu selaras dengan Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam (ARPA) dan Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB). KPK memberi tumpuan kepada tiga keutamaan, iaitu memudahkan pelesenan, melaksanakan penguatkuasaan secara adil dengan mengutamakan kes berisiko lebih tinggi dan menggunakan teknologi digital untuk mempercepat penyampaian keputusan kepada pemohon.
Noraini berkata penguatkuasaan yang konsisten penting bagi menjaga kepentingan pengusaha yang telah meluangkan masa dan menanggung kos untuk memenuhi syarat lesen.
Katanya, aduan mengenai operasi tanpa lesen, pemalsuan rekod atau pelanggaran berulang perlu disiasat dengan teliti. Sebarang tindakan hendaklah berasaskan bukti dan diambil mengikut bidang kuasa agensi masing-masing.
Pada majlis itu, Noraini turut melancarkan eLesen BLESS Generasi Baharu yang melibatkan Bahagian Biojisim dan Biobahan Api, Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara serta Lembaga Koko Malaysia. Beliau turut melancarkan Sistem MyPermit oleh Lembaga Getah Malaysia.



