Ella kembali dengan buah tangan terbaru, pentas Majlis Tertinggi Rockqueen Ella: Sidang Penutup jadi saksi

Ada lagu yang sekadar singgah di telinga, tetapi ada juga lagu yang terus hidup dalam ingatan, menjadi teman ketika jatuh bangun dan menyimpan seribu satu kenangan. Begitulah perjalanan muzik Ella, Ratu Rock negara yang masih punya cara tersendiri untuk dekat di hati peminatnya.

Menjelang konsert pada 5 Disember 2026 ini, Ella nampaknya mahu menghadiahkan lebih daripada sekadar sebuah persembahan pentas. Sebaliknya, malam istimewa itu bakal menjadi ruang untuk peminat menikmati sisi berbeza perjalanan muziknya, termasuk mendengarkan karya terbaharu yang sudah hampir sedekad dinantikan.

Menerusi sesi siaran langsung di TikTok baru-baru ini, Ella berkongsi beberapa perkembangan mengenai persiapan konsert berkenaan, selain memberi sedikit bayangan tentang lagu-lagu yang bakal mengisi malam penuh nostalgia itu.

Antara perkara yang pastinya mencuri perhatian ialah kemunculan karya terbaharu Ella yang bakal dipersembahkan buat pertama kali secara langsung di hadapan peminat. Selepas hampir 10 tahun, Ella kembali dengan buah tangan hasil nukilan komposer terkenal, Saari Amri, manakala liriknya ditulis oleh Azam Dungun.

Pastinya, gabungan nama-nama ini mengundang rasa teruja, apatah lagi apabila karya tersebut bakal menjadi antara momen istimewa yang hanya dapat dirasai oleh mereka yang hadir menyaksikan konsert berkenaan.

Lebih menarik, persembahan itu bakal diiringi kumpulan pemuzik Ella yang diketuai Datuk Acis, sekali gus menjanjikan pengalaman muzik yang pastinya mempunyai keistimewaan tersendiri.

Namun, Sidang Penutup bukan sekadar tentang memperkenalkan lagu baharu. Ella turut mahu membawa peminat menyusuri kembali perjalanan muziknya menerusi beberapa karya yang jarang diberikan ruang dalam persembahan sebelum ini.

Antara lagu yang bakal menghidupkan pentas termasuk Menyanyilah La La La, Puisi Hamba, Bendera Damai, Kabus dan Sirna serta Puteri Kota. Lagu-lagu ini pastinya membawa cerita dan kenangan tersendiri buat mereka yang membesar dengan muzik Ella.

Dalam sebuah malam yang menghimpunkan nostalgia, emosi dan perjalanan seni, kehadiran artis jemputan istimewa seperti Yuna, Datuk Ziana Zain dan Shima turut menambah warna kepada konsert berkenaan.

Boleh dikatakan, Sidang Penutup bakal menjadi sebuah pertemuan antara generasi dan jiwa muzik yang berbeza, namun disatukan oleh satu perkara iaitu kecintaan terhadap muzik tempatan.

Selepas sekian lama menghiburkan peminat dengan deretan lagu yang menjadi siulan ramai, Ella seakan mahu membalas kesetiaan mereka dengan sebuah malam yang penuh kejutan. Bukan sahaja untuk mengenang perjalanan yang telah dilalui, tetapi juga meraikan karya baharu yang bakal membuka lembaran seterusnya dalam karier seninya.

Konsert Majlis Tertinggi Rockqueen Ella: Sidang Penutup akan berlangsung pada 5 Disember 2026 (Sabtu) di Unifi Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Tiket boleh didapati menerusi laman web rasmi www.hitmanlive.com.

Dianjurkan oleh Hitman Solutions dan Rockqueen, konsert ini turut mendapat sokongan Era FM, Sinar FM, Mix FM, Lite FM dan THR Gegar sebagai rakan radio, Astro Gempak, World of Buzz dan HLive sebagai rakan media, Libroff, Ad Box dan Laura Creative sebagai rakan media luar, serta The Saujana Hotel Kuala Lumpur sebagai rakan hotel.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi talian +6012-2655783 atau mengemukakan pertanyaan menerusi e-mel [email protected].

Kerana ada pertemuan yang bukan sekadar tentang muzik, tetapi tentang kenangan yang tidak pernah pudar. Dan pada 5 Disember nanti, Ella pastinya punya cerita tersendiri untuk disampaikan kepada mereka yang selama ini tidak pernah berhenti menyanyikan lagu-lagunya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat