Peruntukan JKOM ditambah, RTM dipotong- persatuan penerbit desak kerajaan jelaskan keutamaan

KUALA LUMPUR – Mengapa peruntukan Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM) ditingkatkan, sedangkan Radio Televisyen Malaysia (RTM) dipotong RM61.74 juta?

Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM) mendesak kerajaan meneliti semula keputusan itu kerana dikhuatiri menjejaskan kelangsungan industri kreatif serta periuk nasi ribuan pekerjanya.

Presidennya Datuk Jurey Latiff Rosli berkata, pengurangan peruntukan RTM ketika industri penerbitan tempatan memerlukan lebih banyak peluang perolehan amat mendukacitakan, lebih-lebih lagi apabila PTVM sebelum ini berulang kali mengemukakan justifikasi supaya peruntukan penyiar awam itu ditingkatkan.

Menurutnya, keutamaan sepatutnya diberikan kepada pengukuhan RTM dan pembelian lebih banyak program tempatan daripada syarikat penerbitan swasta, bukannya mengurangkan peruntukan ketika industri berdepan keperluan untuk terus bertahan.

Beliau berkata, kesan pengurangan itu bukan hanya ditanggung syarikat penerbitan, malah boleh merebak kepada keseluruhan rantaian tenaga kerja termasuk pelakon, pengarah, penulis skrip, jurukamera, penyunting dan kru teknikal.

“Kerajaan perlu mendengar suara kami. Kami bukan sekadar memperjuangkan kepentingan syarikat penerbitan, tetapi memperjuangkan periuk nasi seluruh rantaian pekerja industri kreatif,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Jurey berkata, RTM merupakan antara sumber utama pendapatan syarikat penerbitan dan penggiat industri televisyen tempatan, justeru pengurangan peruntukan yang menjejaskan pembelian program tempatan boleh mengancam peluang pekerjaan serta pendapatan keluarga yang bergantung kepada industri berkenaan.

Isu itu turut dibangkitkan Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (PROFIMA) dalam kunjungan hormat kepada PTVM semalam, dengan kedua-dua persatuan mewakili kepentingan majikan dan pekerja sependapat bahawa peningkatan peruntukan RTM penting bagi menjamin kelangsungan industri serta membuka lebih banyak peluang pekerjaan.

Dalam pada itu, Jurey menegaskan penggiat industri kreatif tidak seharusnya dilihat sekadar sebagai penghibur, sebaliknya perlu diiktiraf sebagai rakan strategik kerajaan dalam menyampaikan dasar, inisiatif dan aspirasi negara kepada rakyat.

Katanya, drama, dokumentari, telefilem dan kandungan kreatif lain mempunyai keupayaan menyampaikan mesej kerajaan secara lebih dekat dengan kehidupan masyarakat, selain menjana kegiatan ekonomi dan peluang pekerjaan.

Sehubungan itu, PTVM mengemukakan empat tuntutan kepada kerajaan, iaitu meneliti semula pengurangan peruntukan RTM bagi 2027.

“Meningkatkan peruntukan khusus untuk pembelian program televisyen tempatan daripada syarikat penerbitan swasta.

“Juga memperluas peluang perolehan bagi mewujudkan lebih banyak pekerjaan dalam industri kreatif.

“Mengiktiraf penggiat industri kreatif sebagai rakan strategik kerajaan dalam penyampaian dasar dan inisiatif kepada rakyat.

“Kami tidak meminta bantuan untuk terus bergantung kepada kerajaan. Kami menuntut peluang untuk bekerja, berkarya, mencari rezeki dan menyumbang kepada pembangunan negara,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat