KUALA LUMPUR – ASEAN perlu beralih daripada sekadar menjadi pembekal bahan mentah mineral kepada peneraju aktiviti industri bernilai tinggi bagi mengukuhkan kedudukannya dalam ekosistem mineral kritikal global.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, kekayaan sumber geologi dan pertumbuhan ekonomi yang dinamik meletakkan ASEAN pada kedudukan strategik untuk menjadi tonggak utama dalam industri mineral kritikal dunia.
Menurutnya, peralihan dunia ke arah tenaga hijau dan teknologi termaju turut meningkatkan keperluan terhadap rantaian bekalan mineral yang terjamin dan dipelbagaikan.
“Untuk mencapai matlamat ini, kita perlu melangkaui peranan sebagai pembekal bahan mentah semata-mata.
“Kita perlu beralih kepada aktiviti bernilai lebih tinggi, termasuk pemprosesan mineral peringkat pertengahan, pembuatan termaju, inovasi teknologi terkini dan ekonomi kitaran,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian bersama Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN Mengenai Mineral Ke-11 (AMMin) dan Forum Pelaburan Mineral ASEAN 2026 (AMVest) di ibu negara, hari ini.
Arthur berkata, ASEAN perlu memberikan tumpuan kepada tiga keutamaan strategik bagi mempercepat transformasi sektor mineral serantau.
Keutamaan itu merangkumi usaha menggerakkan pelaburan yang berdaya maju untuk pembiayaan dalam rantaian nilai mineral kritikal ASEAN, mempercepat perindustrian hiliran serta memperkukuh integrasi dalam rantaian bekalan global, menurutnya.
“Ia turut melibatkan pengukuhan penyelarasan dasar serantau, piawaian alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) serta rangka kerja pelaburan yang telus,” katanya.
Beliau berkata, transformasi sektor mineral memerlukan pelaburan modal berskala besar dan perubahan teknologi yang dapat direalisasikan menerusi kerjasama erat dalam kalangan negara anggota ASEAN.
Dalam konteks Malaysia, Arthur berkata, kerajaan kekal komited untuk membangunkan industri mineral yang mampan, saksama dan bernilai tinggi menerusi pelaburan strategik, inovasi berterusan serta pembangunan modal insan.
“Kita mengalu-alukan kerjasama yang menjana nilai tambah tempatan, mewujudkan peluang pekerjaan berkualiti dan berkemahiran tinggi serta memelihara kelestarian alam sekitar, di samping menghormati kedaulatan negara terhadap sumber mineral masing-masing,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, Pelan Kerja Kerjasama Mineral ASEAN Plus Three 2026–2031 akan memperkukuh kerjasama strategik dengan China, Jepun dan Korea Selatan dalam aspek pembangunan mampan, pelaburan, pemindahan teknologi serta perindustrian hiliran.
ASEAN turut membangunkan ekosistem pelaburan bersepadu menerusi AMVest, Kit Panduan ASEAN bagi Projek Mineral Sedia Pelaburan (IRMP) dan platform digital ASEAN Minerals Connect (AMConnect) bagi menghubungkan sumber mineral serta projek yang bersedia menerima pelaburan dengan modal global.
Arthur berkata, langkah berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha ASEAN untuk menterjemahkan komitmen dasar kepada pelaksanaan konkrit yang menyokong pelaburan bertanggungjawab, integrasi rantaian nilai dan pembangunan mampan jangka panjang.
Forum bertemakan “Unlocking Critical Minerals and Circularity Investments for ASEAN” itu mencerminkan aspirasi bersama negara anggota untuk mentransformasikan sumber mineral serantau kepada peluang ekonomi mampan, industri berdaya saing dan rantaian bekalan yang berdaya tahan. – Suara TV



