Turkiye belum sedia terima 10,000 Rohingya – Anwar

KUALA LUMPUR -Turkiye secara rasmi belum bersedia menerima 10,000 pelarian Rohingya dari Malaysia seperti dicadangkan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau menerima penjelasan dan pengesahan daripada kerajaan Turkiye mengenai perkara itu dua hari lalu.

Menurutnya, Turkiye memberi alasan negara itu sedang menanggung lebih empat juta pelarian dari negara Teluk, Arab dan beberapa negara jiran.

“Malaysia seperti yang disuarakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memohon dipertimbangkan untuk menyelesaikan sebahagian daripada masalah kita.

“Tetapi pihak Turkiye secara rasminya belum bersedia menimbangkannya atas alasan sedang menanggung lebih empat juta pelarian dari negara Teluk, Arab dan beberapa negara jiran,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan pada sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat pada Selasa.

Pada 20 November lalu, Zahid mengumumkan Jemaah Menteri bersetuju dengan cadangan menempatkan 10,000 pelarian Rohingya dari Malaysia di Turkiye menerusi program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) selama tiga hingga enam bulan.

Cadangan itu dikemukakan susulan lawatan kerja rasmi Zahid ke Turkiye sebagai usaha mencari penyelesaian jangka panjang terhadap isu pelarian Rohingya.

Bagaimanapun, pada 21 November, Pusat Memerangi Disinformasi (DMM) di bawah Direktorat Komunikasi Kepresidenan Turkiye menafikan dakwaan bahawa negara itu akan menerima 10,000 pelarian Rohingya dan menyifatkan laporan berkenaan sebagai tidak berasas.

Susulan penafian itu, setiausaha akhbar Zahid, Shuhaimi Mohamed menjelaskan bahawa cadangan berkenaan masih memerlukan penjelasan dan penyelarasan lanjut dengan pihak berkaitan.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat