Nuklear Malaysia perkasa pesawah asnaf LZNK melalui benih padi inovasi NMR152

Oleh Zihan Zari

ALOR SETAR – Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) terus memperluas manfaat aplikasi teknologi nuklear dalam sektor pertanian menerusi pelaksanaan Program Pembekalan Benih Padi NMR152 untuk melihat keberkesanan peningkatan hasil padi dan kesejahteraan ekonomi pesawah asnaf Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK).

Majlis penyerahan benih padi NMR152 telah disempurnakan oleh Ketua Pengarah Agensi Nuklear Malaysia, Dr. Muhammad Rawi Mohamed Zin kepada Ketua Pegawai Eksekutif LZNK, Dato’ Syeikh Zakaria Othman di Kampung Alor Melintang, dekat sini baru-baru ini.

Majlis turut disusuli dengan aktiviti menabur benih padi NMR152 di tapak sawah Kampung Alor Melintang sebagai simbolik bermulanya inisiatif ini yang menggabungkan kepakaran penyelidikan nuklear dalam bidang agrobiotekteknologi dengan usaha pembangunan sosioekonomi khususnya dalam meningkatkan potensi ekonomi golongan asnaf melalui sektor pertanian.

Nuklear Malaysia dalam kenyataan berkata, usaha yang dilaksanakan dengan kerjasama LZNK ini melibatkan pembekalan benih padi mutan NMR152 kepada pesawah asnaf terpilih di bawah program ini.

Katanya, inisiatif ini bertujuan menilai keberkesanan varieti padi tersebut dalam meningkatkan produktiviti tanaman dan hasil pengeluaran padi, sekali gus membuka peluang kepada peningkatan pendapatan serta kesejahteraan ekonomi pesawah.

“Varieti padi NMR152 merupakan hasil penyelidikan dan pembangunan (R&D) Nuklear Malaysia melalui aplikasi teknologi pembiakbakaan mutasi berasaskan teknologi nuklear.

“Varieti ini dibangunkan dengan potensi hasil yang tinggi, rintang cuaca serta ciri agronomi yang lebih baik.

“Pelaksanaan projek ini membolehkan prestasi varieti NMR152 dinilai dalam keadaan penanaman sebenar, khususnya daripada aspek pertumbuhan tanaman, kesesuaian varieti dengan persekitaran sawah dan potensi peningkatan hasil tuaian, ”katanya lagi.

Ujarnya, selain pembekalan benih, program ini turut merangkumi pemindahan teknologi melalui latihan asas penanaman, khidmat nasihat teknikal serta pemantauan berkala sepanjang musim penanaman padi 2026/2027.

“Penilaian akan dilaksanakan berdasarkan data pertumbuhan tanaman, prestasi hasil tuaian dan keberkesanan pengurusan agronomi bagi menentukan potensi penggunaan varieti NMR152 secara lebih meluas pada masa hadapan.

“Kerjasama penyelidikan antara Nuklear Malaysia dan LZNK ini mencerminkan pendekatan bersepadu dalam menghubungkan hasil penyelidikan saintifik dengan keperluan sebenar masyarakat,”ujarnya lagi.

Tambahnya, melalui penggunaan inovasi pertanian yang berpotensi meningkatkan hasil tanaman dan mengurangkan kos input, golongan pesawah asnaf berpeluang memperoleh manfaat ekonomi yang lebih mampan, di samping meningkatkan pengetahuan serta kemahiran dalam penggunaan teknologi pertanian moden.

“Pelaksanaan program ini adalah selaras dengan Dasar Teknologi Nuklear Negara (DTNN) 2030 dan aspirasi Nuklear Untuk Rakyat (N.U.R) yang menekankan penggunaan teknologi nuklear secara aman untuk kesejahteraan masyarakat.

“Inisiatif ini memperlihatkan bahawa manfaat teknologi nuklear dapat diterjemahkan kepada penyelesaian praktikal dalam sektor pertanian, pembangunan komuniti dan keterjaminan makanan negara, ”tambahnya lagi. – SUARA.TV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat