KUALA LUMPUR – Sebanyak 477 kes buruh berkaitan pelaksanaan Perintah Gaji Minimum 2024 diselesaikan dengan perintah pembayaran berjumlah RM894,646.73 dikeluarkan kepada majikan.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan berkata, jumlah itu membabitkan sebahagian daripada 585 kes buruh yang direkodkan susulan pelaksanaan perintah berkenaan.
“Bagi kes buruh pula, sebanyak 585 kes direkodkan. Sebanyak 477 kes telah diselesaikan dengan perintah pembayaran berjumlah RM894,646.73 dikeluarkan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Abdul Khalib Abdullah (PN-Rompin) mengenai tahap pematuhan majikan selepas pelaksanaan dasar gaji minimum RM1,700 serta langkah penguatkuasaan terhadap sektor perniagaan mikro di luar bandar yang berdepan peningkatan kos operasi pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.
Mengulas lanjut, Khairul Firdaus berkata, Jabatan Tenaga Kerja (JTK) menerima sebanyak 264 aduan berkaitan pelaksanaan Perintah Gaji Minimum 2024, dengan 233 daripadanya telah diselesaikan.
Menurutnya, daripada jumlah aduan yang diterima itu, sebanyak 185 didapati berasas.
Beliau berkata, JTK turut menjalankan pemeriksaan terhadap 28,259 premis bagi tempoh 1 Februari 2025 hingga 31 Ogos lalu, dengan 204 majikan dikenal pasti gagal mematuhi perintah gaji minimum.
“Notis pematuhan telah dikeluarkan kepada majikan berkenaan untuk tindakan pembetulan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, sebanyak 128 kertas siasatan dibuka berhubung pelanggaran Perintah Gaji Minimum 2024, dengan 46 kes dibawa ke mahkamah membabitkan jumlah denda RM56,900.
Katanya, antara majikan yang didakwa termasuk sebuah syarikat dalam sektor pembuatan yang dikenakan denda RM8,000, manakala sebuah syarikat sektor perkhidmatan didenda RM24,000 kerana membayar gaji pekerja di bawah kadar minimum ditetapkan.
Sementara itu, menjawab soalan tambahan mengenai pelaksanaan Dasar Gaji Progresif (DGP), Khairul Firdaus berkata, seramai 51,363 pekerja tempatan daripada 4,250 majikan menerima manfaat daripada dasar berkenaan.
Jumlah itu sekali gus melepasi sasaran awal kerajaan yang menetapkan penyertaan seramai 50,000 pekerja dalam pelaksanaan DGP.



