KUALA LUMPUR – Pemimpin Parti BERSAMA Datuk Seri Rafizi Ramli menolak desakan supaya parti itu dibubarkan selepas PRN Melaka.
Rafizi mendakwa pencapaian 6 bulan BERSAMA masih setanding atau lebih baik berbanding rekod awal beberapa parti utama termasuk Pas.
Beliau berkata keputusan mengenai masa depan parti perlu dinilai melalui data sejarah, bukannya reaksi emosional terhadap satu pilihan raya.
Rafizi berkata pihak yang mendesak BERSAMA bubar perlu membandingkan prestasi parti itu dengan kedudukan parti lain pada usia yang sama, bukannya mengukurnya terus dengan parti yang telah wujud berdekad lamanya.
Menurutnya, Pas memperoleh kira-kira 9.5 peratus undi pada 1964, 13 tahun selepas ditubuhkan, manakala BERSAMA mencatat 5.88 peratus selepas hanya 6 bulan.
“Tak ada siapa pun pernah suruh parti itu bubar,” katanya, merujuk kepada Pas yang menurutnya pernah melalui fasa sokongan rendah sebelum berkembang menjadi kuasa politik utama.
Rafizi berkata Pas hanya mula membentuk gabungan pada 1990 dan sebelum itu bergerak solo selama bertahun-tahun.
Rafizi mendakwa sokongan Pas pernah berada dalam lingkungan 9 hingga 19 peratus pada beberapa pilihan raya, termasuk 9.5 peratus pada 1964 dan sekitar 13 peratus pada 1982.
Beliau turut membandingkan pencapaian Pas pada PRU 2018, iaitu 13.8 peratus, dengan BERSAMA yang mendapat 5.88 peratus pada PRN Melaka.
Rafizi berhujah bahawa Pas ketika itu sudah mempunyai kepimpinan matang, pengalaman kerajaan dan asas sokongan berpuluh tahun, berbanding BERSAMA yang baru berusia enam bulan.
Bagi DAP, Rafizi mendakwa sokongan parti itu menurun kira-kira lapan peratus pada PRN Melaka terbaru berbanding pencapaian tertingginya sekitar 70 peratus pada 2021. Beliau berkata sebahagian penurunan itu mungkin diserap BERSAMA, manakala sebahagian lagi dipengaruhi faktor lain termasuk MCA.
Rafizi turut membandingkan BERSAMA dengan MUDA dan PEJUANG pada PRU 2022, ketika kedua-dua parti itu berusia kira-kira dua tahun.
Menurutnya, MUDA memperoleh 13.6 peratus sebagai komponen PH, manakala PEJUANG memperoleh 0.7 peratus menerusi Gabungan Tanah Air (GTA).
Beliau mendakwa berdasarkan peratusan undi seluruh negeri, sokongan BERSAMA adalah 2.7 kali ganda lebih tinggi daripada MUDA dan tujuh hingga lapan kali ganda lebih tinggi daripada PEJUANG dalam perbandingan tersebut.
Rafizi menegaskan angka itu menunjukkan BERSAMA bermula pada titik yang lebih kukuh berbanding parti-parti baharu yang sering dijadikan contoh kegagalannya.
Rafizi berkata beliau tidak mahu mengambil keputusan bubar tanpa menilai sama ada BERSAMA benar-benar “projek buang masa”.
Beliau berkata keputusan itu bukan hanya melibatkan pimpinan, tetapi penyokong yang menyumbang wang setiap hari dan jentera yang bekerja tanpa jaminan keselesaan.
Rafizi bagaimanapun, mendedahkan kebimbangannya terhadap jentera yang mungkin tidak mempunyai tempat tinggal tetap sehingga beliau tidak berani bertanya di mana mereka tidur pada malam kempen. “Kalau projek ini projek buang masa, saya tak patut heret mereka semua,” katanya.
Rafizi menegaskan sasaran BERSAMA untuk menjadi parti utama Malaysia dalam tempoh 4 hingga 5 tahun bukan angan-angan kosong. Beliau mendakwa pertumbuhan sokongan parti kini berada antara 75 hingga 100 peratus dalam tempoh empat hingga lima bulan, walaupun pencapaian awal itu “mengecewakan” beliau secara peribadi.
Beliau berkata tugas BERSAMA seterusnya ialah memperkukuh pengundi tegak, membina jentera di peringkat akar umbi dan mengekalkan momentum, bukannya mengambil keputusan bubar selepas satu keputusan pilihan raya.



