KUALA LUMPUR – Penasihat DAP Lim Guan Eng mengiktiraf Anthony Loke sebagai Menteri Pengangkutan yang paling berkesan dan telah melakukan paling banyak sumbangan untuk Pulau Pinang berbanding barisan Menteri Pengangkutan daripada MCA sebelum ini.
Menurut Ahli Parlimen Bagan itu, seramai 1.8 juta rakyat Pulau Pinang menghargai pengorbanan Loke yang melepaskan jawatan Menteri demi mempertahankan prinsip.
“Dengan kelulusan projek-projek pengangkutan bernilai RM21 bilion di Pulau Pinang, Loke mungkin merupakan Menteri Pengangkutan yang paling berkesan dan telah melakukan paling banyak sumbangan untuk Pulau Pinang berbanding barisan Menteri Pengangkutan daripada MCA sebelum ini.
“Kita tidak harus melupakan sumbangan Setiausaha Agung DAP, Loke Siew Fook, yang ketika memegang jawatan sebagai Menteri Pengangkutan telah memainkan peranan penting dalam mendapatkan kelulusan Kerajaan Persekutuan bagi projek-projek pengangkutan bernilai lebih RM21 bilion di Pulau Pinang.
“Rakyat Pulau Pinang pastinya akan berterima kasih kepada Loke atas sumbangan besar dan bermakna beliau kepada negeri ini,” kata Guan Eng yang juga Adun Air Putih dalam kenyataan.
Menurut beliau, projek-projek ini termasuk projek Transit Aliran Ringan (LRT) bernilai RM16.8 bilion, projek-projek peluasan yang merangkumi RM1.55 bilion bagi Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, RM30 juta untuk stesen-stesen KTM, RM32 juta bagi memanjangkan laluan kargo kereta api KTM di Pelabuhan Pulau Pinang untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas di Butterworth, RM2.2 bilion bagi Pelabuhan Pulau Pinang serta RM500 juta untuk Jeti Swettenham. Peletakan jawatan Loke sebagai Menteri Pengangkutan merupakan satu kehilangan besar bagi Pulau Pinang.
“Loke telah meletakkan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan bagi membuktikan pendirian tegas parti berhubung skandal 1MDB bernilai RM52 bilion, sama ada ketika menjadi pembangkang mahupun ketika berada dalam kerajaan, demi memastikan mereka yang bertanggungjawab terhadap skandal kewangan terbesar dalam sejarah dikenakan tindakan.
“Peletakan jawatan Loke turut menegaskan pendirian parti yang tidak bersetuju dengan keputusan membenarkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, menjalani baki tempoh hukuman penjaranya dalam bentuk tahanan rumah, selepas Umno membayar denda RM50 juta bagi pihak beliau,” bidas Guan Eng.


