Wali Band, perangkai melodi penyulam pesan: Satu malam mengimbau cinta, nostalgia dan makna kehidupan

Ada lagu yang hadir sekadar untuk didengar, ada pula lagu yang tanpa sedar membawa kita kembali kepada kenangan yang pernah singgah dalam kehidupan. Begitulah istimewanya Wali Band, sebuah kumpulan muzik dari Indonesia yang menjadikan melodi sebagai teman bercerita, sementara liriknya pula sering menyentuh sisi kehidupan yang dekat dengan hati pendengar.

Daripada kisah cinta, kerinduan, gurauan bersahaja hinggalah pesan kerohanian, Wali Band mempunyai cara tersendiri dalam menyampaikan cerita. Muzik mereka mungkin kedengaran sederhana, namun di sebalik melodi yang mudah melekat di ingatan, tersimpan mesej yang mengajak pendengar untuk berfikir, tersenyum dan sesekali bermuhasabah.

Keistimewaan itulah yang bakal kembali dirasai menerusi konsert WALI EXCLUSIVE – ONE NIGHT ONLY, anjuran 25th Studio dan Infinity Love Creative Ventures yang menghimpunkan peminat untuk menikmati perjalanan muzik kumpulan tersebut dalam sebuah persembahan istimewa.

Lebih menarik, konsert kali ini turut menampilkan penyanyi dan penulis lagu popular Malaysia, Najwa Latiff sebagai artis undangan khas yang akan membuka tirai persembahan.

Kehadiran Najwa pastinya memberikan warna tersendiri kepada malam tersebut apabila penyanyi yang cukup dikenali menerusi lagu Cinta Muka Buku itu bakal membawa penonton menyusuri kembali kenangan muzik yang pernah mewarnai zaman remaja mereka.

Menerusi persembahannya, Najwa dijadualkan menyampaikan tujuh buah lagu termasuk AdaMu, Carta Hati, Satu Hari Nanti, Kosong dan Sahabat. Turut menjadi perhatian ialah lagu Untuk Dia yang bakal dipersembahkan tanpa iringan muzik, sekali gus memberikan ruang kepada vokal dan penghayatan untuk lebih menyerlah sebelum menutup persembahan menerusi lagu yang cukup sinonim dengan namanya, Cinta Muka Buku.

Selepas itu, pentas bakal menjadi milik Wali Band yang hadir dengan rangkaian lagu popular sepanjang perjalanan seni mereka. Empat anggota kumpulan itu, Faank, Apoy, Tomi dan Ovie, mempunyai keistimewaan tersendiri dalam membentuk identiti muzik Wali yang selama ini dekat dengan pendengar di Malaysia.

Sebanyak 15 buah lagu bakal mengisi ruang persembahan, bermula dengan Cari Berkah, Si Udin Bertanya, Kekasih Halal, Nenekku Pahlawanku, Emang Dasar, Yang Penting Halal dan Ada Gajah Di Balik Batu.

Rangkaian lagu tersebut memperlihatkan sisi Wali Band yang cukup bersahaja dalam menyampaikan cerita. Ada yang mengundang senyuman, ada yang mengajak penonton berfikir, malah ada juga yang menyelitkan pesan kehidupan melalui susunan muzik yang mudah diterima.

Namun, antara segmen yang pastinya dinantikan ialah persembahan akustik yang menampilkan empat lagu iaitu Doaku Untukmu Sayang, Baik-Baik Sayang, Harga Diriku dan Dik.

Dalam suasana yang lebih sederhana, lagu-lagu ini dijangka memberikan pengalaman berbeza kepada penonton. Tanpa perlu terlalu bergantung kepada kemeriahan susunan muzik, kekuatan melodi dan lirik menjadi nadi utama untuk menghubungkan penyanyi dengan pendengar.

Ada kalanya, sebuah lagu tidak memerlukan iringan muzik yang terlalu besar untuk menyentuh perasaan. Cukup dengan suara, petikan gitar dan kenangan yang tersimpan, seluruh ruang persembahan mampu berubah menjadi tempat penonton mengimbau kisah masing-masing.

Memasuki segmen seterusnya, Wali Band bakal menghangatkan suasana menerusi Tobat Maksiat, Yank, Aku Bukan Bang Toyib sebelum menutup persembahan dengan lagu yang cukup sinonim dengan perjalanan mereka, Cari Jodoh.

Jika diteliti, kekuatan Wali Band bukan hanya terletak pada lagu-lagu cinta yang mudah dinyanyikan bersama, tetapi juga kemampuan mereka menyelitkan unsur nasihat dan kerohanian tanpa menjadikan muzik sebagai sesuatu yang terlalu berat.

Mereka seolah-olah memahami bahawa kehidupan manusia tidak hanya dipenuhi cerita bahagia. Ada cinta yang ditemukan, ada kasih yang diuji, ada kesilapan yang perlu diperbaiki dan ada perjalanan yang menuntut seseorang kembali mencari makna kehidupan.

Mungkin itulah sebabnya lagu-lagu Wali Band masih mempunyai tempat dalam hati peminat. Mereka tidak sekadar menyampaikan hiburan, sebaliknya mengajak pendengar melihat kehidupan daripada pelbagai sisi, semuanya melalui bahasa muzik yang dekat dengan jiwa masyarakat.

Akhirnya, WALI EXCLUSIVE – ONE NIGHT ONLY bukan sekadar sebuah konsert yang menghimpunkan deretan lagu popular, tetapi sebuah pertemuan antara melodi dan memori. Daripada suara Najwa Latiff yang membawa nostalgia tersendiri hinggalah kehadiran Wali Band yang menyulam hiburan bersama pesan kehidupan, malam tersebut menjadi ruang untuk peminat menyanyi, mengenang dan menikmati muzik dengan cara mereka sendiri.

Kerana ada lagu yang mungkin sudah lama tidak kita dengarkan, tetapi apabila melodinya kembali berkumandang, kenangan yang pernah tersimpan seolah-olah hidup semula.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat