Pengeluaran KWSP umur 45 tahun: Mampukah simpanan bertahan 30 tahun lagi?

KUALA LUMPUR – Cadangan menurunkan umur pengeluaran simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kepada 45 tahun perlu diteliti secara menyeluruh bagi mengelakkan rakyat berdepan masalah ketidakcukupan simpanan kewangan pada hari tua.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, meskipun pengeluaran simpanan pada usia lebih awal mampu memberikan kelegaan kewangan kepada rakyat yang berdepan tekanan kos sara hidup, langkah tersebut perlu mengambil kira peningkatan jangka hayat penduduk Malaysia.

“Saya ada terbaca cadangan nak turunkan umur pengeluaran KWSP kepada 45 tahun. Kita faham, kos sara hidup memang boleh menekan. Bila keluarkan duit sendiri lebih awal, kita mungkin rasa lega. Tapi tengok dulu jangka hayat rakyat Malaysia.

“Tapi kalau kita keluarkan simpanan pada umur 45, ada 30 tahun lagi yang jangkaan kita perlu ditanggung. Cukupkah?” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Menurut beliau, jangka hayat rakyat Malaysia menunjukkan peningkatan ketara daripada sekitar 63 tahun pada era 1970-an kepada 72 tahun pada 2000, sebelum mencecah 75.5 tahun ketika ini.

Peningkatan itu menuntut perancangan kewangan dan persaraan yang lebih menyeluruh bagi memastikan kebajikan rakyat terus terpelihara apabila memasuki usia emas.

Malaysia menuju status negara sangat tua menjelang 2060

Dalam pada itu, Akmal Nasrullah berkata, Kementerian Ekonomi sedang membangunkan Rangka Tindakan Penuaan Kebangsaan (NAB) sebagai persediaan menghadapi perubahan demografi negara.

Rangka tindakan berkenaan akan memberikan tumpuan kepada beberapa aspek utama termasuk pekerjaan, perlindungan sosial, kesihatan serta penjagaan jangka panjang bagi memastikan negara lebih bersedia menghadapi peningkatan populasi warga emas.

“Keperluan menyediakan rangka tindakan berkenaan semakin mendesak memandangkan Malaysia sedang melalui proses penuaan penduduk yang jauh lebih pantas berbanding beberapa negara maju,” katanya.

Beliau berkata, Malaysia telah mencapai status negara menua sejak 2021 dan dijangka menjadi negara tua menjelang 2048 apabila golongan berumur 65 tahun ke atas merangkumi 14 peratus daripada keseluruhan penduduk.

Menjelang 2060 pula, Malaysia dijangka mencapai status negara sangat tua apabila golongan berkenaan merangkumi 20 peratus daripada jumlah penduduk negara.

“Perancis ambil masa 115 tahun untuk melalui peralihan ini. Kita cuma ada 27 tahun. Siapa nak jaga kita yang akan menua nanti? Cukupkah pusat jagaan kita sebagai warga emas, hospital dan penjaga? Cukupkah simpanan kita? Jujurnya, adakah kita cukup bersedia?” katanya.

Kecukupan simpanan persaraan menjadi cabaran

Akmal Nasrullah turut menekankan bahawa peningkatan jangka hayat penduduk bukan sahaja membabitkan persoalan kecukupan simpanan persaraan, malah turut melibatkan kesiapsiagaan kemudahan kesihatan, pusat jagaan dan perkhidmatan penjagaan warga emas.

Sehubungan itu, keperluan kewangan semasa rakyat perlu diseimbangkan dengan jaminan kehidupan selepas persaraan, khususnya dalam menghadapi perubahan struktur demografi negara.

Beliau turut memaklumkan bahawa taklimat mengenai persediaan negara menghadapi cabaran penuaan penduduk telah diberikan kepada Ahli Parlimen.

“Insya-Allah, kita kena bincang banyak kali sebab ini soal masa depan kita semua,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat