Mineral ASEAN ujian buat Arthur

Oleh Ab Jalil Backer

Minggu depan, Kuala Lumpur kembali menjadi tumpuan apabila Malaysia menjadi tuan rumah Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN Mengenai Mineral (AMMin) ke-11. Dalam rangka program 23 hingga 26 November, para menteri akan bertemu selepas pemimpin ASEAN menerima pakai Deklarasi Mineral Kritikal pada 15 November di Manila. Tugas mereka ialah menentukan bagaimana persetujuan itu hendak dilaksanakan.

Deklarasi Manila menerima pakai definisi bersama dan senarai mineral kritikal yang boleh dikemas kini. Ia juga menggariskan cita-cita yang lebih besar untuk membina rantaian industri serantau, daripada penerokaan dan perlombongan hingga penapisan, pembuatan dan kitar semula.

Para menteri ASEAN yang menjaga portfolio mineral kini diberi mandat menggubal dan melaksanakan strategi yang memperincikan tindakan keutamaan, projek utama, peluang pelaburan dan hasil yang boleh diukur.

Perhatian dunia terhadap ASEAN semakin ketara selepas China mengetatkan kawalan eksport ke atas beberapa unsur nadir bumi. China masih menyumbang kira-kira 70 peratus pengeluaran lombong nadir bumi dunia pada 2025. Myanmar berada di tempat keempat, manakala Thailand turut menyumbang kepada bekalan dunia.

Beijing baru-baru ini melanjutkan penggantungan sebahagian sekatan tambahan eksport hingga Januari 2027, sementara kawalan terdahulu ke atas tujuh unsur, termasuk disprosium dan terbium, masih berkuat kuasa. Bagi negara pengimport, keadaan ini menambah dorongan untuk mencari sumber bekalan dan kapasiti pemprosesan di tempat lain.

Justeru tidak hairanlah para pemimpin dunia mula memfokuskan kepada rantau ini. Pada sidang kemuncak di Manila, Jepun dan ASEAN bersetuju memperkukuh rantaian bekalan mineral, termasuk mendapatkan semula bahan daripada sisa elektronik dan kenderaan akhir hayat. Australia pula menyatakan kesediaan meneroka kerjasama dalam pembangunan mineral kritikal secara mampan.

Dalam masa yang sama, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bergegas meninggalkan Manila, pulang sebentar ke Kuala Lumpur bagi menyambut Presiden Perancis Emmanuel Macron. Anwar Ibrahim berkata Malaysia bersetuju membenarkan eksport sebahagian bahan mentah nadir bumi ke Perancis susulan komitmen untuk bekerjasama dalam pemprosesan.

Kerjasama antara Carester dari Perancis dan Malaco dari Malaysia pasti menimbulkan persoalan panjang seperti mana munculnya isu Lynas dahulu. Apakah kapasiti pemprosesan yang akan dibina di Malaysia, kepakaran apa yang akan dikembangkan dan berapa banyak pekerjaan mahir boleh diwujudkan di sini?

Sama ada melibatkan nadir bumi, nikel atau mineral lain, kepentingan negara masing-masing akan menentukan sejauh mana strategi ASEAN boleh dilaksanakan. Negara yang mempunyai bijih mahu menarik kilang dan pekerjaan ke wilayahnya. Negara yang sudah memiliki kemudahan pemprosesan mahu bekalan yang terjamin.

Apabila beberapa negara mengejar pelaburan yang sama, rundingan tentang lokasi kilang dan pembahagian manfaat boleh menjadi lebih sukar daripada mencapai persetujuan di atas kertas. Deklarasi itu sendiri mengiktiraf hak berdaulat setiap anggota ke atas sumber aslinya dan meletakkan kerjasama atas dasar sukarela.

Bagi pembuat polisi dan kapitalis ia soal keperluan dan permintaan mineral dari industri yang boleh menjana pembangunan dan keuntungan. Ia soal berapa banyak pekerjaan dan nilai daripada pemprosesannya boleh kekal di ASEAN.

Bagi orang ramai, pertaruhannya dekat dengan kehidupan seharian. Kita menuntut keseimbangan antara keperluan mengeksploitasi mineral dengan menjaga kelestarian alam.

Sering kali pertentangan antara komersial dan kelestarian, alam jarang menang kerana manusia memikirkan kehidupan hari ini dan esok bukan masa depan.

Inilah tanggungjawab sebenar Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup bila beliau memimpin rundingan mengenai mineral di Kuala Lumpur.

Pada tahun 2018, Arthur yang ketika itu sebagai Ahli Parlimen Pensiangan sahaja, pernah bangun di Dewan Rakyat mengkritik mengenai cadangan melombong arang batu untuk bekalan tenaga di Sabah terutama melibatkan Lembangan Maliau yang dianggap ‘the lost world of Sabah’.

Itulah ujian Arthur di Kuala Lumpur. Beliau perlu meyakinkan rakan sejawat bahawa kerjasama dalam pembangunan industri mineral bukan sahaja harus menguntungkan industri serantau tetapi juga memastikan kelestarian alam dapat dipertahankan.

Artikel ini dipetik dari Sinar Ahad 22 November 2026

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat