Tidak benar Istana mahu kekalkan Ismail Lasim – Pengelola Bijaya

SEREMBAN – Pengelola Bijaya Diraja menolak dakwaan bahawa Istana Negeri Sembilan mahu Datuk Ismail Lasim kekal sebagai Menteri Besar kerana Ismail sendiri menegaskan beliau tidak meletakkan jawatan.

“Oleh kerana beliau sendiri menyatakan bahawa beliau tidak meletakkan jawatan, adalah tidak tepat dan tidak berdasarkan fakta untuk mengatakan bahawa pihak Istana mahu beliau kekal sebagai Menteri Besar,” menurut kenyataan Pengelola Bijaya Diraja hari ini.

Ketika menghadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir, pagi tadi, Ismail memaklumkan kepada baginda bahawa beliau tidak mengemukakan surat peletakan jawatan bertarikh 16 November dan tidak bersetuju surat itu dikemukakan.

Majlis menghadap itu turut dihadiri Dato’-Dato’ Undang. Menurut kenyataan itu, Ismail menyatakan pendirian yang sama dalam sidang media hari ini.

Pihak Istana menegaskan bahawa Ismail perlu menunjukkan beliau masih mendapat sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN). Beliau juga perlu mengemukakan senarai ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) untuk pertimbangan Tuanku Muhriz.

Dalam kenyataan terdahulu pada 17 November, pihak Istana memaklumkan bahawa surat yang dihantar ke Istana Hinggap itu belum disahkan. Menurut Istana, peletakan jawatan Menteri Besar hanya berkuat kuasa sekiranya diperkenankan baginda.

Tarikh persidangan Dewan Undangan Negeri dan pembentangan Belanjawan Negeri akan ditetapkan selepas perkara berkaitan sokongan majoriti dan senarai Exco diselesaikan. Tuanku Muhriz berharap urusan itu dapat diselesaikan segera demi kepentingan rakyat Negeri Sembilan.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat