10,000 pelarian Rohingya di Malaysia akan dipindahkan ke Turkiye – Zahid

KUALA LUMPUR- Seramai 10,000 pelarian Rohingya yang berada di Malaysia bakal ditempatkan di Türkiye menerusi program latihan kemahiran berstruktur selepas Jemaah Menteri bersetuju dengan cadangan kerajaan itu.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, inisiatif berkenaan susulan hasil lawatan kerja rasmi beliau ke Republik Türkiye baru-baru ini sebagai sebahagian usaha mencari penyelesaian jangka panjang terhadap isu keberadaan pelarian Rohingya di negara ini.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pekerja Asing (JKKPA) berkata, pendekatan itu mencerminkan usaha strategik kerajaan untuk menangani isu berkenaan secara lebih tersusun, berkesan dan berperikemanusiaan.

“Jemaah Menteri telah bersetuju dengan cadangan yang dikemukakan susulan hasil lawatan kerja rasmi saya ke Republik Türkiye baru-baru ini, berhubung inisiatif penempatan 10,000 pelarian Rohingya dari Malaysia ke Türkiye melalui satu program latihan kemahiran berstruktur,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Menurut Zahid, persetujuan kerajaan Türkiye menerima 10,000 pelarian berkenaan merupakan perkembangan positif dalam usaha Malaysia mencari penyelesaian jangka panjang terhadap isu yang sekian lama menjadi cabaran pengurusan migrasi dan keselamatan negara.

Katanya, inisiatif itu bukan sekadar memindahkan pelarian ke negara ketiga, sebaliknya menyediakan peluang kepada mereka membina kehidupan baharu melalui program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) selama tiga hingga enam bulan.

Program berkenaan akan menawarkan bidang kemahiran yang diselaraskan mengikut keperluan sebenar pelbagai sektor industri di Türkiye.

“Melalui pendekatan ini, pelarian Rohingya yang terlibat akan dibekalkan dengan kemahiran praktikal dan kompetensi pekerjaan yang relevan, sekali gus meningkatkan kebolehpasaran mereka serta membuka peluang untuk menyertai pasaran pekerjaan dan menyumbang secara produktif kepada ekonomi negara penerima, tertakluk kepada peraturan yang berkuat kuasa di Türkiye,” katanya.

Zahid berkata, inisiatif itu turut selari dengan semangat penyelesaian jangka panjang yang digariskan Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR), khususnya menerusi pendekatan penempatan semula di negara ketiga dengan mengambil kira aspek keselamatan, perlindungan, maruah dan masa depan golongan pelarian.

Tegasnya, penyelesaian isu pelarian tidak seharusnya hanya tertumpu kepada aspek penguatkuasaan dan penghantaran keluar, sebaliknya perlu turut mengambil kira dimensi kemanusiaan.

“Mereka bukan sekadar dipindahkan dari sebuah negara ke negara lain, sebaliknya diberikan ilmu, kemahiran dan peluang untuk membina masa depan yang lebih terjamin,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata keputusan berkenaan membuktikan kesungguhan kerajaan mencari penyelesaian konkrit terhadap isu pelarian Rohingya melalui kerjasama strategik dengan negara ketiga.

Menurutnya, pendekatan itu berpotensi menjadi model baharu pengurusan pelarian yang lebih sistematik, mampan dan bermaruah.

Pelaksanaan inisiatif berkenaan akan diselaraskan bersama pihak berkuasa Türkiye, UNHCR serta agensi berkaitan bagi memastikan proses pemilihan, latihan, dokumentasi dan penempatan berjalan secara teratur.

Zahid berkata, pelaksanaan itu juga akan mengambil kira keperluan industri, persetujuan individu yang terlibat serta peraturan antarabangsa berkaitan.

Beliau menegaskan usaha itu turut mencerminkan kepentingan hubungan diplomatik erat antara Malaysia dan Türkiye dalam menterjemahkan kerjasama dua hala kepada penyelesaian praktikal terhadap isu kemanusiaan yang memberi kesan kepada kepentingan negara.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat