Lima bagasi dan sebuah kotak berisi dadah, lima pegawai TUDM ditahan polis

KUALA LUMPUR – Lima pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang disyaki terlibat dalam penemuan dadah di Pangkalan Udara Subang pada 17 November lalu ditahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi membantu siasatan.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, penemuan itu hasil pemeriksaan rutin oleh petugas TUDM terhadap bagasi yang akan dimuatkan ke dalam pesawat pasukan berkenaan di Bangunan Pergerakan Udara (AMS), pangkalan tersebut.

Menurutnya, pemeriksaan berkenaan menemukan lima bagasi dan sebuah kotak yang mencurigakan sebelum perkara itu segera dilaporkan kepada Cawangan Penyiasatan Zon Tengah TUDM.

Cawangan berkenaan kemudian menghubungi Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik PDRM di Bukit Aman untuk tindakan lanjut.

“Pada kira-kira pukul 5.20 petang hari yang sama, pasukan PDRM tiba di lokasi dan mengesahkan bahan yang ditemukan merupakan dadah berbahaya.

“Kesemua lima bagasi dan sebuah kotak telah disita sebagai bahan bukti, manakala lima pegawai TUDM yang disyaki terlibat telah ditahan oleh PDRM,” katanya dalam kenyataan.

Khaled menegaskan, Kementerian Pertahanan memandang serius kejadian itu dan tidak akan bertolak ansur terhadap sebarang kegiatan jenayah membabitkan warga pertahanan.

“Kementerian Pertahanan tidak akan berkompromi terhadap sebarang kegiatan jenayah. Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pegawai yang terbukti terlibat atau bersubahat,” katanya.

Beliau berkata, TUDM telah menyerahkan kes berkenaan kepada PDRM untuk siasatan lanjut dan akan memberikan kerjasama penuh sepanjang proses siasatan.

Menurutnya, TUDM melaksanakan pemeriksaan dalaman secara berkala bagi memastikan organisasi itu sentiasa bebas daripada kegiatan dadah, manakala penemuan berkenaan merupakan yang pertama seumpamanya dikesan ketika pemeriksaan rutin dijalankan.

Beliau turut menegaskan bahawa prinsip ketelusan dan akauntabiliti akan terus menjadi keutamaan kementerian, termasuk dalam pengendalian kes tersebut.

“Operasi pemeriksaan dan penguatkuasaan dalaman akan terus dipertingkatkan bagi memastikan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kekal bebas daripada kegiatan dadah,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat