Bukan sekadar mengejar pertumbuhan perniagaan dan keuntungan, Dutch Lady Milk Industries Berhad (Dutch Lady Malaysia) turut memberi perhatian kepada pembangunan industri tenusu tempatan menerusi usaha memperkukuh ekosistem susu segar negara.
Komitmen itu diteruskan menerusi sokongan kepada peladang tenusu tempatan bagi meningkatkan kualiti serta jumlah pengeluaran susu segar, sekali gus membantu membangunkan industri tenusu Malaysia untuk jangka masa panjang.
Langkah berkenaan turut diperkukuhkan menerusi cadangan pengambilalihan 35 peratus pegangan dalam Jemaluang Dairy Valley (JDV), yang dilihat sebagai satu lagi langkah strategik syarikat untuk memperluaskan penglibatannya dalam segmen susu segar.
Usaha ini hadir ketika Dutch Lady Malaysia terus mencatat perkembangan positif dalam perniagaannya. Bagi suku ketiga tahun kewangan 2026 yang berakhir pada 30 September lalu, syarikat itu merekodkan keuntungan bersih sebanyak RM40.5 juta, meningkat 26.2 peratus berbanding RM32.1 juta dalam tempoh sama tahun sebelumnya.
Hasil pendapatan turut meningkat 6.6 peratus kepada RM399.3 juta, didorong permintaan terhadap rangkaian susu cair Dutch Lady, perkembangan saluran jualan luar rumah serta sumbangan positif daripada produk baharu.
Antara yang menyumbang kepada prestasi tersebut termasuk Dutch Lady Omega 3*6 dan rangkaian Dutch Lady Tealive yang baru diperkenalkan kepada pengguna. Penjenamaan semula pembungkusan produk susu cair Dutch Lady pada suku kedua juga membantu mengekalkan momentum jualan produk teras syarikat.
Pengarah Urusan Dutch Lady Milk Industries, Veronika Utami berkata, prestasi positif itu mencerminkan kepercayaan keluarga Malaysia terhadap jenama Dutch Lady selain kekuatan rangkaian produk tenusu yang ditawarkan.
Menurutnya, syarikat akan terus memberi perhatian kepada keperluan pemakanan dan cita rasa pengguna tempatan, di samping meningkatkan kecekapan operasi serta memperkenalkan inovasi yang bersesuaian dengan kehendak pasaran.
Dalam perkembangan sama, keuntungan operasi syarikat meningkat 37.4 peratus kepada RM54.1 juta, manakala keuntungan sebelum cukai melonjak 42.7 peratus kepada RM53.5 juta berbanding tempoh sama tahun lalu.
Kedudukan kewangan syarikat juga semakin kukuh apabila pinjaman antara syarikat berjaya diselesaikan sepenuhnya menjelang akhir suku ketiga. Aliran tunai bersih daripada aktiviti operasi bagi sembilan bulan pertama tahun ini turut meningkat kepada RM100.1 juta berbanding RM67.5 juta pada tahun sebelumnya.
Sebagai sebahagian daripada pulangan kepada pemegang saham, Dutch Lady Malaysia turut mengisytiharkan dividen interim kedua satu peringkat sebanyak RM0.40 sesaham, bersamaan jumlah keseluruhan RM25.6 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2026.
Mengulas prospek masa hadapan, Veronika berkata syarikat kekal positif terhadap perkembangan perniagaan dengan kekuatan jenama serta kesedaran pengguna mengenai kepentingan nutrisi susu yang semakin meningkat.
Bagaimanapun, syarikat tetap mengambil kira cabaran seperti ketidaktentuan geopolitik global, perubahan harga komoditi dan tekanan inflasi yang boleh mempengaruhi kos operasi.
Justeru, Dutch Lady Malaysia akan terus memberi tumpuan kepada pembangunan jenama, pengenalan produk baharu dan peningkatan kecekapan operasi bagi memastikan pertumbuhan perniagaan dapat dikekalkan.
Bagi Dutch Lady Malaysia, usaha membangunkan industri tenusu tempatan bukan sekadar strategi perniagaan, sebaliknya sebahagian daripada komitmen jangka panjang untuk menyediakan sumber nutrisi berkualiti kepada masyarakat, selari dengan matlamat syarikat iaitu Nourishing Our Planet and People in Every Stage of Life.


