KUALA LUMPUR – Minit Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan berhubung tahanan rumah Datuk Seri Najib Tun Razak dinyahklasifikasi bagi membolehkan Jabatan Peguam Negara (AGC) mengemukakannya menerusi afidavit untuk menjawab cabaran Badan Peguam Malaysia di mahkamah, menurut sumber dalam kerajaan.
Sumber itu berkata pengelasan semula minit berkenaan tidak memerlukan kelulusan Jemaah Menteri kerana Seksyen 2C Akta Rahsia Rasmi 1972 memberi kuasa kepada menteri atau pegawai awam yang bertanggungjawab untuk mengelaskan semula dokumen rasmi. Di bawah peruntukan itu, dokumen berkenaan terhenti menjadi rahsia rasmi selepas pengelasan semula.
Menurut sumber berkenaan, keperluan mengemukakan minit melalui afidavit itu menjelaskan mengapa tanda “TERBUKA” tertera pada salinan yang dimuat naik portal Malaysiakini. Portal itu turut melaporkan bahawa dokumen berkenaan dinyahklasifikasi untuk tujuan prosiding mahkamah susulan cabaran terhadap keputusan tahanan rumah Najib.
Badan Peguam Malaysia memfailkan permohonan kebenaran semakan kehakiman pada 10 November bagi mencabar keputusan yang membolehkan Najib menjalani baki hukuman kes SRC International secara tahanan di rumah. Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Komisioner Jeneral Penjara dan Najib dinamakan sebagai responden.
Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said, meminta kerajaan menjelaskan sama ada minit itu telah dinyahklasifikasi secara rasmi, bila keputusan dibuat, siapa yang meluluskannya dan apakah tatacara yang dipatuhi.
Beliau turut meminta pengesahan sama ada salinan yang tersebar sepadan dengan rekod rasmi dan sama ada pengelasan semula meliputi keseluruhan minit, termasuk lampiran.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid, pula mempersoalkan ketiadaan kenyataan rasmi kerajaan mengenai status dokumen itu dan menggesa pihak berkuasa menyiasat tindakan bekas Ahli Parlimen DAP, Tony Pua, yang berkongsi butiran minit berkenaan di media sosial.
Mahdzir meminta Pua menjelaskan bagaimana butiran itu diperoleh dan berkata UMNO Kedah akan membuat laporan polis.- SuaraTV



