Ada kalanya seseorang perlu melangkah jauh daripada perkara yang paling dicintainya sebelum menyedari bahawa di situlah sebenarnya tempat hatinya berlabuh.
Begitulah perjalanan penyanyi Sahri yang pernah mencipta nama menerusi Akademi Fantasia musim pertama (AF1) sebelum meraih kejayaan menerusi lagu Izinku Pergi di Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-22 pada 2007.
Selepas lebih dua dekad mengharungi dunia seni, Sahri atau nama sebenarnya Sahri Mohd Sarip, akhirnya mengambil keputusan untuk kembali memberikan sepenuh perhatian kepada bidang nyanyian selepas sekian lama membina kerjaya di belakang tabir industri hiburan.
Bukan kerana hilang minat, sebaliknya perjalanan hidup membawanya meneroka bidang lain yang turut membuka perspektif berbeza terhadap dunia seni.
Menurut Sahri, dia aktif menyanyi sejak 2003 sebelum membuat keputusan menyambung pengajian dalam bidang produksi muzik di Universiti Limkokwing pada 2011. Selepas menamatkan pengajian pada 2014, dia ditawarkan bekerja di Astro sebagai penyelaras bakat (Talent Coordinator).
Sepanjang tempoh itu, dia terlibat menguruskan bakat untuk pelbagai program terbitan Astro, sekali gus memberinya peluang memahami industri hiburan daripada sudut yang berbeza.
Namun, kecintaannya terhadap muzik tidak pernah benar-benar terpadam kerana dia masih menerima undangan persembahan, khususnya untuk acara persendirian seperti majlis perkahwinan dan acara korporat.
Dalam masa sama, Sahri turut mencuba untuk menghidupkan semula kerjaya nyanyiannya menerusi single Terlambat pada 2017. Pengalaman tersebut mengajarnya bahawa untuk kembali mendapat tempat dalam industri muzik, bakat sahaja tidak mencukupi tanpa perancangan, strategi dan pelaburan yang sewajarnya.
“Dulu mungkin kita buat lagu, kemudian terus keluarkan. Tetapi sekarang keadaannya berbeza. Banyak perkara perlu difikirkan dan kita kena tahu apa yang mahu dibawa kepada pendengar.
“Saya mula sedar bahawa untuk kembali dalam industri, bukan sekadar perlu ada lagu yang bagus. Kita juga perlu ada perancangan dan kesungguhan untuk memperkenalkan karya itu,” katanya.
Perjalanan kerjayanya sekali lagi berubah apabila jabatan tempatnya bekerja di Astro ditutup pada 2019. Berbekalkan pengalaman dalam bidang produksi, pengurusan kontrak serta pengetahuan berkaitan undang-undang muzik, Sahri kemudian beralih ke bahagian perundangan sebelum meneruskan kerjaya korporat sehingga April lalu.
Bagaimanapun, selepas meninggalkan pekerjaan tetap pada April 2026, dia mula bertanya kepada diri sendiri tentang perkara yang benar-benar mahu dilakukan dalam hidup.
Jawapannya membawa dia kembali ke pentas.
Sahri mula mencuba persembahan busking dan tidak menyangka masih ramai yang mengenali dirinya, malah ada pendengar yang masih mengingati lagu-lagu lamanya.
Sambutan tersebut sedikit sebanyak membuka matanya bahawa namanya belum benar-benar hilang daripada ingatan peminat, meskipun sudah lama tidak aktif secara serius dalam industri muzik.
“Bila saya mula busking, saya terkejut kerana masih ada orang yang ingat saya dan lagu-lagu lama. Dari situ timbul semula semangat untuk menyanyi.
“Saya fikir, sampai bila mahu simpan minat ini? Kalau memang menyanyi perkara yang saya suka, kenapa tidak cuba sekali lagi? Saya mahu buat sesuatu yang betul-betul datang daripada hati,” ujarnya.

Kini, Sahri memilih untuk memberikan sepenuh masa kepada kerjaya nyanyian, namun mengakui masih banyak perkara yang perlu diasah semula selepas melalui tempoh panjang tanpa memberikan fokus sepenuhnya kepada bidang tersebut.
Baginya, persembahan secara langsung bukan hanya tentang kemampuan vokal, tetapi turut melibatkan keyakinan, interaksi dengan penonton dan kebolehan mencipta suasana yang menyeronokkan.
Dia juga menganggap hubungan dengan peminat sebagai salah satu kekuatan yang mahu terus diketengahkan setiap kali berada di atas pentas.
“Saya suka berinteraksi dengan penonton. Bagi saya, persembahan bukan semata-mata mahu tunjuk kemampuan vokal seratus peratus, tetapi bagaimana kita boleh menikmati masa bersama peminat.
“Cuma saya tidak nafikan ada banyak perkara yang perlu dipraktikkan semula. Saya kena lebih bersedia, belajar dan memperbaiki apa yang masih kurang,” katanya.
Dalam usaha membuka lembaran baharu, Sahri kini sudah selesai merakamkan sebuah single baharu yang sedang melalui proses adunan (mixing) dan dijangka dilancarkan menjelang Ramadan 2027.
Menariknya, lagu berkenaan dihasilkan menerusi kerjasama dengan seorang penulis lagu yang turut mengembangkan idea berdasarkan perkongsian pengalaman hidup Sahri.
Dia berharap karya baharu itu mampu memperkenalkan sisi dirinya yang lebih matang, selain mengetengahkan kekuatan vokal dalam genre balada yang sememangnya dekat dengan jiwanya.
Sahri juga tidak mahu terlalu bergantung kepada populariti lagu Memori Bahagia yang pernah menjadi antara karya penting dalam perjalanan seninya lebih 20 tahun lalu.
Baginya, sudah tiba masa untuk menghasilkan sesuatu yang baharu agar pendengar dapat mengenali dirinya menerusi karya terkini, bukan sekadar mengimbau kejayaan silam.
“Saya tidak mahu sampai 30 tahun dalam industri, orang masih kenal saya dengan satu lagu sahaja. Penyanyi semakin ramai dan lagu baharu juga semakin banyak.
“Saya mahu ada karya yang boleh mewakili Sahri hari ini. Saya percaya kita kena berani melabur untuk diri sendiri dan berusaha mencari ruang untuk kembali,” jelasnya.
Dalam perkembangan lain, Sahri turut menyertai kempen BANGKIT: Bakat Yang Tak Pernah Padam – Kempen CSR Apresiasi Bakat Seni bersama Fatin Faishal dan Pija yang bakal berlangsung pada 16 November ini di Kuala Lumpur International Hotel (KLIH).
Penyertaannya dalam kempen berkenaan dilihat sebagai satu lagi ruang untuk menghidupkan semula perjalanan seni, selain membuka peluang kepada bakat yang pernah melalui pasang surut industri untuk kembali mendapat perhatian.
Selepas bertahun-tahun menguruskan bakat orang lain dan memastikan persembahan berjalan lancar dari belakang tabir, kini tiba masanya Sahri kembali menjadi insan yang berdiri di hadapan mikrofon.
Mungkin perjalanan kali ini tidak semudah ketika mula-mula mencipta nama dahulu, namun satu perkara yang pasti, kecintaannya terhadap nyanyian masih belum berubah.
Kerana bagi Sahri, pentas mungkin pernah ditinggalkan, tetapi muzik tidak pernah benar-benar pergi daripada hidupnya.



