KUALA LUMPUR – Aktiviti warga asing yang disyaki melanggar undang-undang imigresen di sekitar Jalan Changkat, Bukit Bintang menjadi sasaran operasi penguatkuasaan awal pagi tadi, menyaksikan 25 individu ditahan atas pelbagai kesalahan.
Operasi dikenali sebagai Ops Gegar itu dilancarkan Jabatan Imigresen Malaysia Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JIM WPKL) bermula jam 1.20 pagi dengan tumpuan terhadap wanita warga asing di kawasan berkenaan.
Menurut hantaran di laman Facebook Jabatan Imigresen Malaysia Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, operasi bersepadu itu melibatkan 35 pegawai imigresen pelbagai pangkat dengan bantuan 16 anggota Pasukan Taktikal Khas (PASTAK).
Seramai 25 warga asing diperiksa dalam operasi tersebut dan kesemua mereka ditahan kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan berkaitan imigresen.
Antara kesalahan utama yang dikenal pasti ialah penyalahgunaan pas lawatan sosial, pelanggaran syarat pas serta tinggal di negara ini melebihi tempoh yang dibenarkan.
Berdasarkan maklumat yang dikongsikan jabatan itu, tahanan melibatkan warga asing dari benua Afrika, Myanmar dan Kemboja.
Kesemua individu yang ditahan telah dibawa ke Depot Imigresen Kuala Lumpur bagi membantu siasatan serta tindakan lanjut mengikut peruntukan undang-undang.
Mereka akan disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Dalam pada itu, JIM WPKL memberi amaran bahawa tindakan tegas akan terus diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati melindungi atau menggaji pendatang asing tanpa izin (PATI).
“JIM WPKL ingin menegaskan bahawa tindakan penguatkuasaan akan diteruskan tanpa kompromi terhadap mana-mana individu, pemilik premis, mahupun majikan yang melindungi atau menggaji pendatang asing tanpa izin,” menurut hantaran berkenaan.
Jabatan berkenaan turut menghargai kerjasama masyarakat dalam membantu usaha penguatkuasaan undang-undang imigresen, khususnya dengan menyalurkan maklumat mengenai sebarang pelanggaran melalui saluran rasmi.
“Kerjasama daripada masyarakat amat dihargai dalam menyalurkan sebarang maklumat berkaitan pelanggaran undang-undang imigresen melalui saluran rasmi jabatan,” menurut kenyataan sama.
Operasi berkenaan merupakan sebahagian daripada tindakan penguatkuasaan JIM WPKL terhadap pelanggaran undang-undang imigresen, dengan siasatan lanjut dijalankan bagi menentukan kesalahan yang dilakukan individu terbabit.



