Indonesia perlu bayar pampasan RM13 bilion atau benarkan pasukan pemadam kebakaran masuk – Guan Eng

KUALA LUMPUR – Indonesia perlu membayar pampasan RM13 bilion kepada Malaysia susulan krisis jerebu tahun ini atau bersetuju menubuhkan pasukan petugas tetap rentas sempadan yang diberi kuasa memasuki hutan negara itu bagi menjalankan operasi pemadaman kebakaran, kata Lim Guan Eng.

Penasihat DAP itu berkata, jumlah pampasan itu merangkumi RM8 bilion kerugian kebajikan berkaitan kesihatan dan RM5 bilion kerugian ekonomi yang ditanggung Malaysia akibat krisis jerebu berpanjangan.

“Indonesia perlu sama ada membayar pampasan kepada Malaysia atas kerugian kebajikan berkaitan kesihatan berjumlah RM8 bilion dan kerugian ekonomi sebanyak RM5 bilion akibat krisis jerebu tahun ini, atau bersetuju menubuhkan Pasukan Petugas Tetap Bantuan Jerebu Rentas Sempadan,” kata Ahli Parlimen Bagan itu dalam satu kenyataan pada Selasa.

Bagaimanapun, Guan Eng berkata Malaysia wajar menerima permohonan maaf Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, kepada Malaysia dan Singapura demi memelihara hubungan kejiranan serta semangat solidariti ASEAN.

Namun, katanya, permohonan maaf itu tidak seharusnya melepaskan Indonesia daripada tanggungjawab terhadap tempoh berlarutannya krisis jerebu yang turut diburukkan fenomena El Niño Super tahun ini.

Beliau turut memetik kajian yang ditempah Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) bagi tempoh 1 Julai hingga 22 Oktober 2026, yang menganggarkan pencemaran udara teruk boleh mengurangkan ketibaan pelancong antarabangsa sehingga lapan peratus dan mengakibatkan kerugian sehingga RM5 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berkaitan sektor pelancongan.

Menurutnya, kerugian kebajikan kesihatan RM8 bilion pula dikaitkan dengan anggaran 1,700 kematian pramatang akibat kesan pencemaran udara.

“Sekiranya Indonesia tidak mampu membayar pampasan, maka negara itu sewajarnya menunjukkan sikap berjiwa besar dan berperikemanusiaan dengan bersetuju menubuhkan Pasukan Petugas Tetap Bantuan Jerebu Rentas Sempadan,” katanya.

Beliau mendakwa Indonesia sebelum ini menolak penubuhan pasukan terdiri daripada anggota bomba terlatih yang boleh memasuki hutan negara itu atas alasan mempertahankan kedaulatan negara.

Sehubungan itu, Guan Eng menggesa Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, menyampaikan cadangan berkenaan kepada Indonesia bagi pihak rakyat Malaysia.

“Menteri Luar Negeri Datuk Seri Mohamad Hasan, perlu menyampaikan cadangan ini kepada Indonesia bagi pihak 34 juta rakyat Malaysia, bahawa jerebu tidak seharusnya dibenarkan menjadi bencana berulang setiap tahun,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat