AFFIN catat keuntungan sebelum cukai RM500.2 juta bagi sembilan bulan pertama 2026

KUALA LUMPUR – Kumpulan AFFIN mencatatkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM500.2 juta bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2026, menyusut 7.4 peratus berbanding RM540.1 juta dalam tempoh sama tahun lalu, susulan persekitaran operasi yang mencabar serta peningkatan peruntukan rosot nilai.

Bagaimanapun, kumpulan perbankan itu terus menunjukkan prestasi perniagaan yang positif apabila pendapatan bersih meningkat 14 peratus kepada RM1.99 bilion berbanding RM1.75 bilion sebelumnya, disokong pertumbuhan pendapatan faedah bersih serta fi dan komisen.

Keuntungan operasi AFFIN turut melonjak 41.5 peratus kepada RM720 juta daripada RM509 juta, mencerminkan pertumbuhan berterusan dalam aktiviti perbankan teras kumpulan.

Bagi tempoh sama, jumlah pinjaman dan pembiayaan kasar berkembang 14 peratus kepada RM86.7 bilion berbanding RM76.1 bilion, manakala deposit pelanggan meningkat 5.4 peratus kepada RM82.4 bilion.

Jumlah aset kumpulan pula bertambah 11.5 peratus tahun ke tahun kepada RM132 bilion, sekali gus memperlihatkan momentum pertumbuhan perniagaan yang kekal kukuh meskipun berdepan ketidaktentuan geopolitik global, tekanan inflasi tenaga dan persekitaran kadar faedah tinggi.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif AFFIN, Datuk Wan Razly Abdullah, berkata kumpulan berjaya mengekalkan momentum perniagaan pada suku ketiga tahun ini, dipacu pertumbuhan pembiayaan yang stabil serta pendapatan lebih kukuh, walaupun peningkatan peruntukan rosot nilai memberi kesan kepada keuntungan keseluruhan.

Beliau berkata, pengembangan perniagaan perbankan kumpulan terus disokong permintaan pembiayaan yang meningkat serta usaha memperkukuh hubungan dengan pelanggan sedia ada dan baharu.

Menurutnya, pendaftaran pelanggan baharu meningkat 12.1 peratus berbanding suku sebelumnya, sekali gus memperluaskan keseluruhan asas pelanggan AFFIN kepada 1.89 juta.

Katanya, perkembangan itu turut mencerminkan kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) pendaftaran pelanggan sebanyak 19.8 peratus antara suku pertama tahun kewangan 2024 hingga suku ketiga tahun kewangan 2026.

“Dalam keadaan ketidaktentuan geopolitik yang semakin meningkat dan kos tenaga yang lebih tinggi, kumpulan kekal memberi tumpuan kepada pertumbuhan berdisiplin, penilaian kredit yang kukuh serta pengurusan risiko secara proaktif.

“Kumpulan juga akan terus beroperasi secara tangkas dalam persekitaran mencabar, selain mengekalkan kualiti aset dan daya tahan portfolio,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Wan Razly berkata, segmen pengurusan kekayaan kekal menjadi antara keutamaan strategik pertumbuhan AFFIN, khususnya menerusi usaha memperkukuh hubungan dengan pelanggan berpendapatan tinggi, individu bernilai bersih tinggi dan individu bernilai bersih ultra tinggi.

Beliau berkata, perniagaan pengurusan kekayaan kumpulan menerima tiga pengiktirafan sepanjang 2026, sekali gus mencerminkan usaha berterusan AFFIN dalam meningkatkan mutu perkhidmatan dan pengalaman pelanggan.

Pengiktirafan itu merangkumi Outstanding Private Bank, Asia Pacific pada Private Banker International Global Wealth Awards serta Best Malaysian Bank for Wealth Management dan Best Private Banking Experience pada Business Today Industry Choice Awards.

Menurutnya, pencapaian berkenaan mencerminkan komitmen kumpulan dalam menyediakan khidmat nasihat peribadi, penyelesaian pelaburan bersepadu serta pengalaman perbankan yang memenuhi keperluan pelanggan.

Sementara itu, Wan Razly berkata, kerjasama strategik AFFIN dengan BCA, bank swasta terbesar di Indonesia, turut menjadi antara pemangkin penting kepada usaha memperluaskan peluang perniagaan kumpulan di peringkat serantau.

“Kerjasama itu memperkukuh hubungan AFFIN di seluruh ASEAN dan membuka peluang baharu kepada pelanggan yang memerlukan perkhidmatan perbankan rentas sempadan.

“Pada 2027, kumpulan akan terus memperkukuh hubungan deposit dengan pelanggan serta memperkenalkan inovasi yang berfokuskan keperluan mereka,” katanya.

Kerjasama strategik antara AFFIN dan BCA dimeterai pada 19 Ogos 2026 bagi tempoh tiga tahun, bertujuan memperkukuh hubungan perbankan serta membuka peluang perkhidmatan kepada pelanggan kedua-dua institusi.

BCA mempunyai lebih 41 juta akaun pelanggan dengan rangkaian pengedaran yang luas, merangkumi 20,268 mesin pengeluaran wang automatik (ATM) dan 1,278 cawangan di seluruh Indonesia.

AFFIN akan terus memberi tumpuan kepada pertumbuhan perniagaan yang berdisiplin, pengukuhan hubungan pelanggan serta pengurusan risiko bagi mengekalkan daya tahan kumpulan dalam menghadapi persekitaran ekonomi yang mencabar.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat