KUALA LUMPUR – Warga emas yang tinggal bersendirian bakal dilindungi menerusi sistem keselamatan pintar yang mampu mengesan kejadian kecemasan seperti terjatuh atau tidak bergerak dalam tempoh tertentu, tanpa memerlukan pemasangan kamera di kediaman mereka.
Inisiatif itu akan dilaksanakan oleh Kementerian Komunikasi melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan kerjasama Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP), membabitkan projek rintis di antara 25 hingga 50 kediaman di Razak Mansion, Kuala Lumpur.
Menurut kenyataan bersama kedua-dua pihak hari ini, sistem berasaskan teknologi Internet Benda (IoT) itu menggunakan pengesan pintar bagi memantau pergerakan penghuni dan mengenal pasti keadaan luar biasa yang mungkin memerlukan bantuan segera.
“Teknologi pengesanan kehadiran dan pergerakan penghuni menggunakan pengesan haba badan tanpa penggunaan kamera dapat memastikan keselamatan dipantau dari semasa ke semasa tanpa menjejaskan privasi, maruah dan kebebasan peribadi warga emas,” menurut kenyataan itu.
Sistem berkenaan turut berupaya menghantar notifikasi secara automatik kepada telefon bimbit penjaga dan pihak pengurusan bangunan sekiranya mengesan kejadian kecemasan atau pergerakan luar biasa.
Kemudahan itu membolehkan tindakan susulan diambil dengan lebih pantas, terutama apabila warga emas yang tinggal bersendirian tidak mampu mendapatkan bantuan sendiri.
Selain itu, penggunaan teknologi berkenaan berpotensi memanfaatkan rangkaian 5G bagi mempercepat penghantaran maklumat dan notifikasi kecemasan.
MCMC dan JWP menjelaskan, projek rintis itu bukan sekadar memperkenalkan teknologi pintar dalam kawasan perumahan, sebaliknya bertujuan membolehkan warga emas terus menjalani kehidupan secara berdikari di kediaman masing-masing tanpa mengabaikan aspek keselamatan.
Pendekatan tersebut juga memberi penekanan terhadap hak privasi dan maruah golongan berkenaan, berbanding kaedah pemantauan konvensional yang memerlukan penggunaan kamera.
Kerjasama itu merupakan sebahagian daripada usaha Kerajaan MADANI memanfaatkan teknologi digital untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat, khususnya golongan rentan, selain membangunkan komuniti bandar yang lebih pintar, inklusif dan prihatin. – Suara.TV



