GPS umum senarai penuh 82 calon pada 25 November – Abang Johari

KUCHING – Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan mengumumkan senarai penuh 82 calonnya bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13 pada 25 November ini, tiga hari sebelum penamaan calon.

Pengerusi GPS, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) selaku tunjang gabungan itu akan mengetengahkan kombinasi penyandang dan muka baharu.

Bagaimanapun, Premier Sarawak itu tidak mendedahkan nama calon atau sama ada senarai berkenaan akan menyaksikan pertambahan wakil wanita.

“Apa yang penting ialah kita meneruskan perjuangan PBB dan bekerja untuk mencapai kemenangan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Konvensyen Khas PBB Zon Selatan di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), hari ini.

Konvensyen itu menghimpunkan hampir 4,000 perwakilan dan ahli daripada 26 cawangan, meliputi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) N.01 Opar hingga N.26 Gedong, dengan penyertaan badan induk serta sayap Wanita, Pemuda dan Belia.

Bertemakan “Jaga Sarawak Intu Sarawak”, perhimpunan berkenaan memberi tumpuan kepada penyelarasan tugas antara kepimpinan parti dan cawangan bagi memperkukuh gerak kerja jentera di peringkat akar umbi.

Ketika berucap kepada perwakilan, Abang Johari turut menekankan kepentingan perpaduan parti, permuafakatan dan kestabilan politik dalam menghadapi pilihan raya.

Beliau berkata, semangat perjuangan PBB serta kerjasama dengan parti komponen GPS, iaitu Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Demokratik Progresif (PDP) dan Parti Rakyat Sarawak (PRS), menjadi asas kesiapsiagaan jentera gabungan itu.

GPS dijadual melancarkan jentera pilihan rayanya secara rasmi pada 22 November ini.

Sebelum ini, pada 8 November, Abang Johari memberi bayangan bahawa empat penyandang dijangka mempertahankan kerusi masing-masing, iaitu Datuk Fazzrudin Abdul Rahman di Tupong, Datuk Ibrahim Baki di Satok, Datuk Hamzah Brahim di Stakan dan Datuk Martin Ben di Kedup.

Pada PRN Sarawak 2021, PBB memenangi kesemua 47 kerusi yang ditandinginya, sekali gus menjadi penyumbang terbesar kepada kemenangan GPS yang menguasai 76 daripada keseluruhan 82 kerusi DUN.

Konvensyen Zon Selatan itu meneruskan siri perhimpunan khas PBB mengikut zon, selepas penganjuran edisi Zon Utara di Miri pada 13 September lalu yang melibatkan 18 cawangan.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon pada 28 November, pengundian awal pada 8 Disember dan hari mengundi pada 12 Disember. – Suara.TV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat