Anak Sarawak, Danea Humairah raih Anugerah Srikandi Sukan Kolej Komuniti Malaysia 2025

Oleh Zihan Zari

KOTA BHARU – Pelajar Sijil Teknologi Senibina, Kolej Komuniti Kuching (KKKG), Danea Humairah Sharyman Sufry, menjadi kebanggaan kolej dan seterusnya mengharumkan nama negeri apabila beliau, berjaya meraih Anugerah Srikandi Sukan iaitu anugerah paling berprestij pada Majlis Apresiasi Sukan Kolej Komuniti 2025 (ASKK2025) di Grand Riverview Hotel, dekat sini baru-baru ini.

Danea anak jati Sarawak telah mempamerkan prestasi cemerlang, konsisten dan berdisiplin tinggi sepanjang tahun 2025 sehingga beliau dipilih menerima anugerah tersebut.

Komitmen dan semangat juang yang dipamerkan oleh Danea mencerminkan keupayaan pelajar Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bukan sahaja mampu menguasai kemahiran dalam pelajaran, malah berupaya mencipta nama sebagai atlet yang disegani dan berdaya saing dalam arena sukan.

Kejayaan Danea dalam sukan olahraga membuktikan bahawa bakat muda ini terus menyerlah dan mempunyai potensi besar untuk melakar pencapaian lebih tinggi serta kerja keras dan pengorbanan sejak kecil mampu membuahkan hasil di pentas besar.

“ Saya mula melibatkan diri dalam acara olahraga seawal darjah tiga hingga kini. Saya kena bijak membahagi masa yang seimbang antara belajar dan berlatih.

“Saya amat bersyukur kerana terpilih menerima Anugerah Srikandi Sukan Kolej Komuniti Malaysia. Anugerah ini menjadi pembakar semangat untuk saya terus bekerja keras dan meningkatkan prestasi pada masa hadapan,” katanya.

Menurutnya, kejayaan tersebut bukanlah hasil usaha individu semata-mata, sebaliknya lahir daripada komitmen dan kerjasama erat seluruh pasukan serta bimbingan jurulatih sepanjang tempoh latihan dan kejohanan.

Sokongan keluarga juga memainkan peranan penting apabila setiap kali kejohanan berlangsung, keluarganya akan turut hadir memberi semangat kepadanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Sarawak yang sentiasa memberi peluang kepadanya mewakili Sarawak dalam sukan olahraga serta pihak KKKG dan para pensyarah yang sentiasa memahami tanggungjawabnya sebagai atlet dan pelajar, sekali gus membolehkannya mengimbangi komitmen akademik dan sukan dengan baik.

Dalam majlis yang sama, pelajar Kolej Komuniti Pasir Gudang turut menerima dua anugerah berprestij iaitu Anugerah Wira Sukan melalui Montoya Raw ak Michael (Sukan Kenu), manakala atlet sukan golf yang sedang meningkat naik, Ammer Aiman Mohd Fauzi telah dinobatkan sebagai penerima Anugerah Wira Harapan.

Terdahulu, Timbalan Ketua Pengarah (Governan), Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Ts. Abdul Razak Sabtu memberikan penekanan terhadap usaha memperkukuh pembangunan sukan kolej komuniti melalui pencarian bakat berprestasi
tinggi, pembentukan atlet yang mempunyai pemikiran strategik serta peningkatan kompetensi jurulatih dan pegawai sukan.

Dalam perkembangan sama, ASKK2025 dianjurkan oleh Majlis Sukan Kolej Komuniti Malaysia (MASKOM) bertujuan meraikan kecemerlangan atlet, jurulatih, pengurus pasukan serta individu yang memainkan peranan penting dalam pembangunan sukan kolej komuniti.

Pelbagai anugerah disampaikan bagi menghargai pencapaian atlet dan pasukan, di samping mengiktiraf dedikasi jurulatih, pengurus pasukan serta penggerak sukan yang telah menyumbang kepada kecemerlangan institusi.

Melalui penganjuran ASKK25, MASKOM terus komited untuk membudayakan kecemerlangan sukan, menghargai jasa warga sukan serta memperkukuh peranan Kolej komuniti sebagai salah satu platform pembangunan bakat sukan negara. – SUARA.TV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat