Zahid tidak perlu letak jawatan, DAP wajar hentikan tekanan politik – Azalina

KUALA LUMPUR – Umno menegaskan parti Melayau itu kekal menyokong kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, tetapi menolak sebarang percubaan untuk memaksa parti itu tunduk kepada ultimatum politik dalam Kerajaan Perpaduan.

Ketua Penerangan Umno Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, kenyataan Pengerusi Kebangsaan DAP Gobind Singh Deo yang menyeru Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi meletak jawatan sekiranya tidak menyokong Anwar, bukan sahaja tidak membina malah berisiko merosakkan semangat kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan.

“Umno tidak pernah menarik sokongan terhadap kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. Namun, sokongan terhadap Kerajaan Perpaduan tidak boleh disalahtafsirkan sebagai persetujuan buta terhadap setiap kenyataan, tuntutan atau tekanan politik daripada mana-mana rakan gabungan,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Azalina menegaskan bahawa Gobind sepatutnya memahami bahawa kerajaan gabungan dibina atas rundingan, saling menghormati dan komitmen kolektif, bukan melalui tekanan awam atau tuntutan supaya pemimpin rakan gabungan meletak jawatan.

“Mengeluarkan ultimatum secara terbuka kepada Presiden sebuah parti rakan gabungan bukan sahaja tidak membina, malah bertentangan dengan semangat Perjanjian Kerjasama Kerajaan Perpaduan Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, jika wujud perbezaan pendapat, saluran yang wajar ialah dialog, perundingan dan mediasi, bukan ancaman awam terhadap Umno.

“Kerjasama politik bukan bermakna Umno harus kehilangan maruah, mengenepikan prinsip parti atau tunduk kepada kehendak sepihak mana-mana rakan gabungan,” katanya.

Azalina menjelaskan bahawa komitmen Umno terhadap Kerajaan Perpaduan meliputi sokongan kepada Perdana Menteri dalam perkara berkaitan keyakinan, rang undang-undang bekalan dan usul prosedur yang menjejaskan kesahan perlembagaan Kerajaan Persekutuan.

Namun katanya, komitmen tersebut tidak boleh diperluaskan sehingga bermakna Umno wajib bersetuju dengan setiap pendirian politik atau kenyataan yang dibuat oleh Perdana Menteri mahupun pemimpin parti lain.

“Sokongan bukan taat buta. Umno menyokong kerajaan demi kestabilan negara dan kepentingan rakyat, bukan untuk menjadi tawanan kepada tekanan politik mana-mana pihak,” katanya.

Menyentuh isu pengampunan Datuk Seri Najib Tun Razak, Azalina menegaskan bahawa kuasa pengampunan adalah kuasa perlembagaan yang termaktub di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan, tertakluk kepada prosedur dan susunan institusi yang ditetapkan.

Beliau menolak sebarang percubaan untuk menggambarkan pelaksanaan kuasa perlembagaan itu sebagai keputusan politik sepihak yang boleh dikaitkan dengan Umno.

“Adalah tidak wajar untuk menjadikan prerogatif perlembagaan Yang di-Pertuan Agong sebagai alasan untuk menekan Umno atau meragut sokongan terhadap Kerajaan Perpaduan,” katanya.

Azalina turut menegaskan bahawa Perjanjian Kerjasama Kerajaan Perpaduan bukan semata-mata dokumen perkongsian kuasa. Katanya, ia turut mengandungi komitmen untuk menegakkan Perlembagaan Persekutuan, termasuk kedudukan Islam, orang Melayu dan Bumiputera, serta institusi Raja-Raja Melayu.

“Umno mempunyai tanggungjawab moral dan perlembagaan untuk mempertahankan komitmen asas tersebut. Ia bukan perkara yang boleh diperdagangkan demi keselesaan politik sesuatu pihak,” katanya.

Beliau berkata, DAP mempunyai beberapa pilihan jika tidak berpuas hati dengan perkembangan berkenaan pengampunan Najib, termasuk menggunakan mekanisme mediasi melalui Majlis Perundingan seperti yang diperuntukkan dalam Perjanjian Kerjasama tersebut.

Azalina berkata, jika DAP mahu menamatkan Perjanjian Gabungan, ia perlu memahami bahawa Perjanjian itu dimaksudkan untuk berterusan sehingga penghujung Penggal Parlimen ke-15.

Katanya, DAP juga boleh memilih untuk kekal tenang dan membiarkan susunan kerajaan sedia ada diteruskan, atau mencadangkan supaya peruntukan asas dalam Perjanjian Gabungan dikaji semula.

“Sebarang usaha untuk mengkaji semula peruntukan asas tersebut boleh membawa kesan serius terhadap kesinambungan Kerajaan Perpaduan,” katanya.

Azalina menegaskan bahawa Umno tidak mencari konfrontasi, tetapi tidak akan membenarkan mana-mana pihak menggunakan tekanan awam untuk memaksa Umno mengabaikan prinsip, mandat dan tanggungjawab perlembagaannya.

Mengenai kerjasama politik di peringkat negeri, beliau menegaskan bahawa tiada klausa dalam Perjanjian Gabungan yang menghalang mana-mana parti daripada menjalin kerjasama dengan pihak lain di peringkat negeri.

Beliau berkata, kerjasama di peringkat persekutuan perlu dibezakan daripada susunan politik di peringkat negeri, dan keputusan berkenaan perlu ditentukan oleh kepimpinan negeri masing-masing mengikut keadaan politik tempatan.

“Perbezaan pendekatan di peringkat negeri tidak bermakna Umno menarik sokongan terhadap Perdana Menteri di peringkat persekutuan,” katanya.

Azalina menegaskan bahawa Umno kekal dalam Kerajaan Perpaduan sebagai keputusan politik kolektif demi kepentingan rakyat dan negara.

“Umno akan terus menghormati komitmen kami, menghormati kepimpinan Perdana Menteri dan menegakkan Perlembagaan Persekutuan. Tetapi kami juga menegaskan: dialog dan perundingan, bukan ultimatum dan tekanan awam, ialah cara yang wajar untuk menyelesaikan perbezaan dalam kerajaan gabungan,” katanya.

“Kami telah menyatakan pendirian kami dengan jelas. Langkah seterusnya ada di tangan DAP,” tegas Azalina.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat