Malaysia sumbang kepakaran dalam penilaian antarabangsa amalan akreditasi engineers di bawah Dublin Accord

Oleh Zihan Zari

PERTH, AUSTRALIA – Malaysia terus menyumbang kepakaran dalam penilaian berkala terhadap Engineers Australia di bawah Perjanjian Dublin (Dublin Accord) yang bernaung di bawah International Engineering Alliance (IEA), menerusi penyertaan Lembaga Jurutera Malaysia (LJM) bersama pakar akreditasi dari Korea Selatan dan Afrika Selatan bagi menilai amalan akreditasi berdasarkan piawaian yang dipersetujui di peringkat antarabangsa.

LJM menerusi kenyataan berkata, Malaysia diwakili oleh Pengarah Jabatan Akreditasi Kejuruteraan LJM, Ir. Zairul Amri Zakaria, yang menganggotai panel penilaian antarabangsa bersama Profesor Young Bok Joo dari Accreditation Board for Engineering Education of Korea (ABEEK), Korea Selatan dan Ms Tirhani Nkuna dari Engineering Council of South Africa (ECSA), Afrika Selatan.

“Sepanjang penilaian tersebut, panel turut mengadakan pertemuan dengan barisan kepimpinan Engineers Australia, termasuk Presiden Kebangsaan dan Pengerusi Lembaga, Tom Goerke; Eksekutif Kumpulan bagi Standard Profesional dan Amalan Kejuruteraan, Bernadette Foley; serta Ketua Akreditasi, Dr. Helen Fairweather.

“Pertemuan ini membuka ruang kepada perkongsian amalan terbaik serta perbincangan mengenai perkembangan terkini dalam pendidikan dan akreditasi teknologi kejuruteraan.

“Dr. Fairweather turut menyelaras sesi libat urus panel dan pemerhatian terhadap proses akreditasi di institusi yang terlibat.

“Penilaian yang berlangsung dari 28 Oktober hingga 6 November 2026 itu merangkumi sesi pertemuan, perbincangan serta penelitian terhadap kriteria, dasar, prosedur dan proses membuat keputusan berkaitan akreditasi yang dilaksanakan oleh Engineers Australia,”kata kenyataan itu.

Katanya, panel turut menjalankan pemerhatian secara langsung terhadap lawatan akreditasi Engineers Australia di dua institusi pendidikan. Di RMIT University, Melbourne, panel mengikuti lawatan akreditasi berterusan yang melibatkan lima program Diploma Lanjutan Pendidikan dan Latihan Vokasional (VET) serta lima program Ijazah Bersekutu Pendidikan Tinggi (HE).

“Selain itu, panel turut membuat pemerhatian terhadap lawatan akreditasi di South Metropolitan TAFE (Technical and Further Education), Perth, sebuah institusi awam yang mengkhusus dalam pendidikan teknikal dan vokasional.

“Pemerhatian tersebut memberi peluang kepada panel penilaian antarabangsa untuk memahami secara langsung pelaksanaan proses akreditasi Engineers Australia.

Hasil penilaian berkala ini dijangka dibentangkan untuk pertimbangan dalam Mesyuarat International Engineering Alliance (IEA) di Bali, Indonesia, pada Jun 2027,”katanya lagi.

Ujarnya, Malaysia terus memainkan peranan aktif dalam aktiviti bimbingan dan penilaian akreditasi di peringkat antarabangsa, sumbangan LJM dalam bidang ini turut mendapat pengiktirafan semasa Mesyuarat IEA di Cape Town, Afrika Selatan, Jun lalu.

“Penglibatan tersebut merangkumi aktiviti bimbingan dan penilaian akreditasi melibatkan Peru, Hong Kong dan United Kingdom, dengan Australia merupakan penglibatan terbaharu Malaysia dalam penilaian akreditasi antarabangsa.

“Malaysia menjadi penandatangan penuh Perjanjian Dublin pada 2018. Perjanjian yang diwujudkan pada 2002 itu mengiktiraf program pendidikan juruteknik kejuruteraan yang diakreditasi oleh negara penandatangan sebagai mempunyai hasil pembelajaran graduan yang setara berdasarkan piawaian yang dipersetujui di peringkat antarabangsa.

“Kesetaraan ini dinilai berdasarkan IEA Graduate Attributes and Professional Competencies (GAPC), yang menetapkan penanda aras antarabangsa bagi pengetahuan, kemahiran dan kompetensi yang perlu dicapai oleh graduan juruteknik kejuruteraan, ”katanya lagi

Ujarnya, walaupun pendekatan pendidikan dan struktur program berbeza antara negara, graduan perlu menunjukkan pencapaian hasil pembelajaran yang ditetapkan di bawah perjanjian berkaitan.

“Melalui Majlis Akreditasi Teknologi Kejuruteraan (Engineering Technology Accreditation Council – ETAC) di bawah LJM, sebanyak 303 program di 84 Institusi Pengajian Tinggi (IPT) telah memperoleh akreditasi berdasarkan kerangka Perjanjian Dublin.

“Pencapaian ini mencerminkan komitmen Malaysia dalam memastikan standard pendidikan kejuruteraan negara terus memenuhi penanda aras antarabangsa.

“Bagi graduan juruteknik kejuruteraan Malaysia, pengiktirafan ini memperkukuh kedudukan kelayakan akademik mereka di peringkat antarabangsa, di samping menyokong mobiliti kerjaya dan peluang pembangunan profesional di negara-negara penandatangan, tertakluk kepada syarat pendaftaran profesional dan peraturan pekerjaan yang ditetapkan oleh negara masing-masing, ”ujarnya lagi.

Tambahnya, penyertaan LJM dalam penilaian rakan setara antarabangsa turut memperkukuh komitmen Malaysia untuk mengekalkan amalan akreditasi yang berwibawa dan diyakini, selain membolehkan pengalaman serta pengetahuan yang diperoleh dimanfaatkan bagi penambahbaikan berterusan pendidikan kejuruteraan dan pembangunan bakat kejuruteraan masa hadapan negara.

Dalam perkembangan sama, Ir. Zairul Amri berkata pengiktirafan antarabangsa dibina atas asas kepercayaan bersama dan tanggungjawab kolektif.

“Sebagaimana Malaysia terlibat dalam menilai sistem akreditasi negara lain, sistem akreditasi negara kita juga tertakluk kepada penelitian antarabangsa yang sama.

“Perkongsian kepakaran ini memperkukuh keyakinan antara negara penandatangan serta membantu memastikan kelayakan kejuruteraan terus memenuhi piawaian yang dipersetujui di peringkat antarabangsa,” katanya. – SUARA.TV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat