HANG TUAH JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim belum menerima peletakan jawatan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke sebagai Menteri Pengangkutan, sebaliknya akan mengadakan rundingan semula bagi memujuk beliau supaya terus kekal menerajui kementerian berkenaan.
Anwar berkata, Loke telah mengemukakan surat peletakan jawatan berkuat kuasa serta-merta, namun beliau selaku Perdana Menteri belum bersetuju menerima keputusan tersebut.
Menurutnya, peletakan jawatan itu perlu dibincangkan semula kerana beliau berpandangan Loke merupakan antara menteri yang menunjukkan prestasi kerja baik, berintegriti dan komited dalam melaksanakan tanggungjawab.
“Anthony Loke memang tulis surat kepada saya, (surat) letak jawatan serta-merta, tetapi saya sebagai Perdana Menteri belum terima peletakan jawatan.
“Jadi biar nanti, kalau cuti okey tetapi peletakan jawatan kita kena runding semula,” katanya ketika berucap pada Grand Finale Jelajah Harapan di sini, malam ini.
Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata, beliau mempertahankan prestasi Loke berdasarkan sumbangan dan komitmennya dalam melaksanakan pelbagai inisiatif, termasuk mengemukakan cadangan serta projek bagi memudahkan perjalanan rakyat dan membantu golongan pemandu teksi.
Beliau turut menyelar kritikan politik yang mempertikaikan pujiannya terhadap Loke, sambil menegaskan penilaian terhadap seseorang menteri seharusnya berdasarkan amanah, integriti dan prestasi kerja, bukannya sentimen politik atau kaum.
“Biarlah, kita lantik menteri, menteri itu amanah, bersih, menteri itu kerja kuat, menteri itu bagi banyak cadangan, projek untuk memudahkan perjalanan rakyat dan juga pemandu-pemandu teksi.
“Jadi sebab itu saya kata, orang macam beliau baik, dia orang suruh henti. Yang teruk, dia suruh kekal, ini dunia ni sudah terbalik,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Anwar berkata beliau turut mendapatkan maklum balas daripada pegawai dan kakitangan Kementerian Pengangkutan (MOT) bagi menilai penerimaan terhadap kepimpinan Loke.
Katanya, maklum balas daripada pegawai Melayu di kementerian itu menunjukkan Loke diterima baik, selain disifatkan sebagai seorang menteri yang kuat bekerja dan sentiasa membantu rakyat.
“Loke kuat bekerja, selalu tolong rakyat di bawah.
“Saya tanya pegawai Melayu di Kementerian Pengangkutan, mereka beritahu dia (Loke) diterima baik di sana,” katanya.



