KUALA LUMPUR – Kerajaan akan terus memperkukuh penggunaan teknologi mekanisasi, automasi dan pendigitalan dalam sektor perladangan bagi mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing, susulan kejayaan SD Guthrie Berhad mengurangkan tenaga kerja asing sebanyak 18 peratus menerusi pelaksanaan program Project Infinity.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, program yang dilaksanakan sejak 2021 itu membuktikan penggunaan teknologi moden mampu meningkatkan produktiviti dan kecekapan operasi perladangan tanpa menjejaskan peluang pekerjaan sedia ada.
Menurut beliau, jumlah pekerja asing SD Guthrie berjaya dikurangkan daripada 22,607 orang pada 2019 kepada 18,435 orang, manakala nisbah keluasan tanah kepada pekerja meningkat daripada 1:11 kepada 1:13, melebihi julat biasa industri sekitar 1:8 hingga 1:10.
“Setakat Jun 2026, sebanyak 444 mesin digunakan bagi aktiviti bukan penuaian seperti pembajaan, kawalan rumpai serta kawalan perosak dan penyakit.
“Ini telah mengurangkan keperluan 2,252 pekerja am atau 29 peratus tanpa melibatkan pemberhentian pekerja,” katanya dalam satu kenyataan.
Noraini berkata, keberkesanan program itu turut dapat dilihat apabila produktiviti setiap mesin meningkat sebanyak 51 peratus, manakala kapasiti efektif melonjak 2.45 kali ganda walaupun jumlah jentera dikurangkan sebanyak 53 peratus.
Pencapaian tersebut memperlihatkan potensi mekanisasi dalam membantu industri perladangan meningkatkan kecekapan penggunaan tenaga kerja serta mengurangkan kebergantungan kepada buruh asing secara berperingkat.
Dalam pada itu, Noraini berkata, transformasi sektor perladangan melalui teknologi turut membuka peluang pekerjaan berkemahiran dengan pendapatan lebih kompetitif kepada rakyat tempatan, khususnya golongan belia.
Katanya, Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) melalui Institut Perladangan dan Komoditi Malaysia (IMPAC) serta Pusat Latihan Sawit Malaysia (PLASMA) di bawah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) turut bekerjasama dengan SD Guthrie dan institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) menerusi Program Pakar Mesin (Machine Specialist).
“Setakat ini, seramai 503 anak tempatan telah dilatih dan ditempatkan dengan purata gaji kira-kira RM3,500 sebulan.
“Ini membuktikan sektor perladangan moden mampu menawarkan kerjaya berkemahiran dengan pendapatan yang kompetitif kepada belia,” katanya.
Beliau berkata, usaha melahirkan lebih ramai pekerja tempatan yang mahir mengendalikan jentera dan teknologi moden merupakan antara langkah penting dalam memastikan sektor perladangan negara terus berdaya saing.
Noraini menegaskan, kementeriannya akan terus menyokong dan bekerjasama dengan pemain industri bagi mempercepat penerapan teknologi, meningkatkan produktiviti serta mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing secara berperingkat.
Katanya, pendekatan itu selaras dengan aspirasi Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) yang memberi penekanan kepada peningkatan produktiviti, penerapan teknologi dan pembangunan modal insan tempatan. – Suara.TV



