KUALA LUMPUR – Tindakan beberapa pemimpin kerajaan dan perkembangan membabitkan Jabatan Peguam Negara (AGC) berhubung isu tahanan rumah Datuk Seri Najib Razak didakwa memperlihatkan unsur ‘penderhakaan halus’ terhadap titah Yang di-Pertuan Agong.
Setiausaha Pemuda Umno Hafiz Ariffin berkata, tindakan berkenaan bukan sahaja menimbulkan persoalan mengenai penghormatan terhadap institusi diraja, malah tidak membantu kedudukan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai ketua kerajaan dan Pengerusi Pakatan Harapan (PH).
Beliau berkata, Anwar sendiri pernah mengakui di Dewan Rakyat bahawa beliau membawa permohonan pengampunan Najib untuk dimasukkan dalam agenda Lembaga Pengampunan.
“Najib tidak lari pun. Dia ikut saluran yang sama, macam mana Datuk Seri lalui dulu. Sekarang, Yang di-Pertuan Agong dah pun memperkenankan, denda RM50 juta dah dibayar dan selesai ikut syarat.
“Tapi lepas itu, kita tengok seorang demi seorang pemimpin dalam pasukan Datuk Seri tunjuk isyarat tidak setuju,” katanya dalam video yang dimuat naik di Facebook.
Hafiz berkata, beliau tidak mempertikaikan hukuman yang dijatuhkan terhadap Najib mahupun proses perundangan yang dilalui bekas Perdana Menteri itu, sebaliknya mempersoalkan tindakan beberapa pihak selepas keputusan pengampunan dibuat.
Beliau mengemukakan lima perkara yang menurutnya memperlihatkan ketidakkonsistenan pendirian kerajaan dalam isu berkenaan.
Pertama, beliau mempersoalkan tindakan bekas Ahli Parlimen Damansara Tony Pua, yang menggesa orang ramai mengemukakan persoalan berkaitan titah Agong kepada Istana, bukannya DAP.
“Itu bukan hormat. Itu sengaja melimpahkan permainan politik dia kepada Istana,” katanya.
Kedua, Hafiz membangkitkan peletakan jawatan Setiausaha Agung DAP Anthony Loke, atas alasan prinsip dan pendirian parti, sedangkan menteri DAP lain masih kekal dalam Kabinet.
“Kalau begitu, menteri DAP yang lain tiada prinsip? Semua kekal? Apa beza Loke dengan yang lain? Prinsip apa yang terpakai pada seorang menteri sahaja? Itu bukan prinsip, itu teater politik,” katanya.
Ketiga, beliau mempersoalkan cadangan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu, supaya semua banduan tanpa mengira kesalahan diberikan peluang menjalani hukuman melalui tahanan rumah.
“Abang Mat, mempersendakan keputusan dan ihsan Yang di-Pertuan Agong ke? Keputusan itu dibuat ikut kerangka undang-undang,” katanya.
Keempat, beliau membangkitkan tindakan AGC yang didakwa menangguhkan pelaksanaan berkaitan tahanan rumah Najib pada saat akhir, walaupun denda RM50 juta sudah dibayar.
Beliau turut mempersoalkan perkembangan apabila AGC memberikan maklum balas secara terbuka berhubung isu perintah berkenaan, selain tindakan Anwar mengarahkan Peguam Negara menghadap bagi memohon ampun.
Kelima, Hafiz mengingatkan Anwar mengenai pengalaman pengampunan penuh yang diterimanya sebelum ini, apabila keputusan berkenaan dicabar di mahkamah sehingga ke Mahkamah Persekutuan.
“Peguam Datuk Seri lawan sampai Mahkamah Persekutuan, lepas itu menang. Mahkamah kata apa? Itu kuasa prerogatif Agong.
“Dan hari ini, bila Najib dapat pengampunan, AGC, kerajaan Datuk Seri sendiri yang tangguh,” katanya.
Beliau turut membangkitkan laporan pada 2016 bahawa peguam Anwar, ketika beliau dipenjarakan, pernah bersedia memohon supaya baki hukumannya dijalani melalui tahanan rumah.
Sehubungan itu, Hafiz mempersoalkan sama ada prinsip pengampunan dan tahanan rumah benar-benar terpakai kepada semua individu atau bergantung kepada pihak yang menerimanya.
“Pengampunan dan tahanan rumah ini hak semua orang ke? Atau ia ikut siapa yang dapat?” soalnya.
Beliau menegaskan, tindakan yang dibangkitkan itu tidak memperlihatkan sikap menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong dan menghormati prinsip kedaulatan undang-undang (rule of law).
Hafiz turut mengingatkan Anwar supaya tidak membiarkan polemik berkenaan berlarutan sehingga menjejaskan keyakinan rakyat terhadap kerajaan.
“Ramai dah letak jawatan, tinggalkan kerajaan Datuk Seri. Kalau berlarutan beginilah, jangan biarkan orang ramai pula buat benda yang sama,” katanya.



