Dakwaan DAP tolak gelaran kerana tidak iktiraf Raja Melayu adalah fitnah Ahmad Maslan – Adly Zahari

MELAKA – Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Melaka, Adly Zahari menyifatkan dakwaan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, bahawa pemimpin DAP enggan menerima darjah kebesaran kerana tidak mahu mengiktiraf kedudukan dan institusi Raja-Raja Melayu, adalah satu fitnah.

“Ia adalah cubaan memburukkan cubaan memburukkan PH ketika kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 sedang berlangsung.

“Oleh itu, saya merumuskan bahawa kenyataan itu adalah fitnah,” katanya pada sidang media harian PH di Bilik Gerakan Utama gabungan itu di sini, semalam.

Menurut Adly, dakwaan tersebut tidak berasas kerana beberapa pemimpin DAP telah menerima darjah kebesaran ketika PH mentadbir, termasuk di Melaka.

Beliau turut merujuk veteran DAP, Tan Sri Lim Kit Siang sebagai antara pemimpin parti itu yang menerima pengurniaan gelaran kebesaran.

“Pemimpin tertinggi DAP, Tan Sri Lim Kit Siang, juga menerima gelaran,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan Ahmad membuat dakwaan berkenaan ketika berkempen di Kampung Lendu Dalam pada malam Selasa.

Ahmad yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya dilaporkan mendakwa pemimpin DAP keberatan menerima darjah kebesaran kerana tidak mahu mengiktiraf kedudukan dan institusi Raja-Raja Melayu.

Beliau turut membangkitkan perkara itu sebagai antara perbezaan ideologi UMNO dengan DAP, selain pendirian mengenai konsep negara sekular dan kedudukan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan.

SPR menetapkan Sabtu ini sebagai hari pengundian PRN Melaka ke-16, dengan 687,697 pengundi berdaftar layak menunaikan tanggungjawab masing-masing. – BERNAMA/SuaraTV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat