Melaka sasar pelaburan RM30 bilion dalam lima tahun – Ab Rauf

MELAKA, 11 November – Melaka menyasarkan pelaburan berjumlah RM30 bilion dalam tempoh lima tahun akan datang dengan memberi tumpuan kepada sektor elektrik dan elektronik (E&E), semikonduktor serta industri berteknologi tinggi.

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, sasaran itu bersamaan purata RM6 bilion setahun, disokong usaha memperkukuh ekosistem industri dan menyediakan persekitaran yang mesra pelabur.

Menurutnya, kehadiran syarikat antarabangsa seperti Infineon, Texas Instruments dan Koa Denko membuktikan keupayaan Melaka sebagai destinasi pelaburan industri berteknologi tinggi.

Beliau berkata, perkembangan operasi syarikat berkenaan turut membuka ruang untuk menarik pelaburan baharu, khususnya dalam sektor semikonduktor, mikrocip dan industri sokongan.

“Struktur semikonduktor dan mikrosemikonduktor begitu aktif di Melaka ini dan kilang yang agak terkemuka di dunia ini ada di Melaka.

“Jadi subsektor ataupun ekosistem pada industri ini akan memberikan percambahan untuk menjadi ekosistem kepada sektor mikrocip,” katanya kepada Bernama.

Bagi menyokong perkembangan sektor berkenaan, Ab Rauf berkata, antara pembangunan yang dirancang ialah German Technology Park (GTP) di Ayer Keroh, membabitkan kawasan seluas 302 hektar.

Taman teknologi itu akan dibangunkan menerusi kerjasama pihak swasta dengan kerajaan negeri bagi menyokong sektor industri E&E.

Menurutnya, pembangunan tersebut mengambil inspirasi daripada kaedah pengurusan kawasan perindustrian di Jerman yang lebih teratur dan terancang bagi menarik penyertaan syarikat antarabangsa.

Dalam usaha mencapai sasaran pelaburan itu, beliau berkata, kerajaan negeri turut menyelaraskan peranan semua agensi bagi mengurangkan birokrasi dan memudahkan urusan perniagaan.

“Kerajaan negeri mengatur semua agensi supaya Melaka menjadi sebuah negeri yang mesra perniagaan. Kita kurangkan birokrasi dan sasarkan supaya dapat menambahkan pelaburan.

“Dengan adanya pelaburan, rakyat mendapat pekerjaan dan apabila rakyat mendapat pekerjaan, sistem ekonomi akan berkembang,” katanya.

Ab Rauf berkata, kedudukan strategik Melaka serta harga tanah dan kos operasi yang lebih kompetitif berbanding beberapa negeri lain turut memberikan kelebihan dalam menarik pelaburan asing dan domestik.

Beliau berkata, kerajaan negeri akan terus mempergiat usaha pemasaran di peringkat antarabangsa bagi memperkenalkan potensi Melaka kepada pelabur.

Usaha itu, katanya, turut mengetengahkan kesiapsiagaan ekosistem industri negeri, termasuk tenaga kerja dan kemudahan sokongan yang diperlukan untuk pembangunan serta pengembangan operasi syarikat. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat