LKIM sambut ulang tahun Ke-55, terus perkasa Nelayan dan pastikan bekalan ikan negara stabil

Sambutan ulang tahun ke-55 Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) bukan sekadar meraikan perjalanan agensi itu, malah menjadi ruang untuk melihat semula usaha memperkukuh sektor perikanan negara serta memastikan kebajikan nelayan terus terbela.

Melangkah ke usia 55 tahun, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) terus memainkan peranan penting dalam memastikan bekalan ikan negara kekal stabil, selain membantu meningkatkan taraf hidup golongan nelayan yang menjadi antara tulang belakang industri perikanan negara.

Sambutan ulang tahun ke-55 yang diraikan sempena penubuhan agensi itu pada 1 November lalu turut menjadi peluang untuk LKIM menilai cabaran semasa dan merancang pendekatan baru bagi memastikan sektor perikanan terus berkembang.

Pengerusi LKIM, Mohd Faiz Fadzil berkata, usaha memastikan bekalan makanan khususnya sumber ikan sentiasa mencukupi bukanlah sesuatu yang mudah kerana sektor perikanan banyak bergantung kepada faktor cuaca dan keadaan sumber di laut.

Menurutnya, perubahan cuaca serta kawasan pembiakan ikan yang semakin terhad antara cabaran yang perlu diberikan perhatian bagi memastikan bekalan ikan negara terus terpelihara.

Bagaimanapun, LKIM sentiasa mengambil langkah proaktif termasuk menggalakkan pembinaan unjam dan tukun tiruan di kawasan tertentu bagi menyediakan lebih banyak tempat pembiakan ikan.

Dalam masa sama, usaha meningkatkan pendapatan nelayan turut menjadi antara keutamaan agensi itu, memandangkan mereka tidak seharusnya bergantung sepenuhnya kepada hasil tangkapan ikan untuk menyara kehidupan.

Mohd Faiz berkata, jika nelayan hanya bergantung kepada aktiviti menangkap ikan, ia mungkin tidak mencukupi untuk membantu mereka meningkatkan taraf ekonomi keluarga.

Justeru, menerusi agenda memperkasa persatuan nelayan, LKIM menggalakkan golongan itu menceburi bidang akuakultur serta perniagaan hiliran yang mampu memberikan sumber pendapatan tambahan.

Antara usaha yang sedang dilaksanakan termasuk membantu persatuan nelayan mendapatkan kepakaran dan modal bagi memulakan perniagaan, khususnya dalam pemprosesan hasil laut.

Malah, ada persatuan nelayan yang sudah mula menghasilkan produk seperti ikan kering, belacan dan keropok, selain mengusahakan kedai runcit untuk memasarkan produk keluaran mereka.

Menurut Mohd Faiz, pendekatan itu penting bagi membentuk satu ekosistem perniagaan yang lebih menyeluruh, bermula daripada aktiviti menangkap ikan sehingga kepada pemprosesan dan pemasaran produk kepada pengguna.

Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan kadar sara diri (SSR) ikan negara ketika ini berada pada tahap sekitar 90 peratus, dengan beberapa spesies mencatatkan pengeluaran melebihi 100 peratus.

Bagaimanapun, tahap kecukupan bekalan berbeza mengikut jenis ikan dan permintaan pengguna. Sebagai contoh, pengeluaran ikan siakap negara mencatatkan lebihan sehingga membolehkan sebahagian hasilnya dieksport ke negara jiran seperti Thailand.

Sebaliknya, ikan kembung masih memerlukan import bagi memenuhi permintaan pasaran tempatan.

Jelasnya, corak pemakanan masyarakat serta tahap permintaan terhadap spesies tertentu turut mempengaruhi keperluan bekalan ikan negara.

Selain isu bekalan, LKIM juga memberi perhatian kepada pengurusan subsidi minyak nelayan bagi memastikan bantuan kerajaan sampai kepada golongan yang benar-benar layak.

Mohd Faiz berkata, penggunaan aplikasi digital dengan kaedah pengesahan identiti termasuk imbasan wajah diperkenalkan sebagai antara langkah mengurangkan ketirisan dalam penyaluran subsidi minyak.

Melalui sistem berkenaan, kelayakan nelayan dapat disemak dengan lebih teratur, selain memastikan penggunaan subsidi dapat dipantau dengan lebih baik.

Bagaimanapun, beliau mengakui penggunaan aplikasi mungkin menjadi cabaran kepada nelayan berusia yang kurang biasa dengan teknologi digital.

Sehubungan itu, LKIM akan mengadakan sesi libat urus dan latihan bagi membantu mereka memahami penggunaan aplikasi berkenaan, dengan kerjasama persatuan nelayan di kawasan masing-masing.

Menurutnya, persatuan nelayan mempunyai peranan penting kerana mereka menjadi penghubung antara agensi dengan komuniti nelayan, termasuk membantu memberikan tunjuk ajar berkaitan sistem baharu.

Beliau turut menjelaskan bahawa nelayan perlu mengisytiharkan hasil tangkapan sebelum menikmati subsidi minyak, sebagai salah satu kaedah memastikan bantuan diberikan berdasarkan aktiviti perikanan sebenar.

Mengulas mengenai hala tuju LKIM selepas 55 tahun penubuhannya, Mohd Faiz berkata cabaran sektor perikanan akan terus berubah seiring pertambahan penduduk, perubahan persekitaran dan keperluan bekalan makanan yang semakin meningkat.

Justeru, kerjasama antara pihak pengurusan, kakitangan LKIM dan komuniti nelayan perlu terus diperkukuh bagi memastikan setiap perancangan dapat dilaksanakan dengan berkesan.

Katanya, hubungan secara langsung dengan nelayan di kawasan pendaratan ikan dan kompleks perikanan membolehkan pihak LKIM memahami sendiri cabaran serta keperluan mereka.

Memasuki usia 55 tahun, LKIM bukan sahaja perlu memastikan bekalan ikan negara terus mencukupi, malah perlu memastikan golongan nelayan turut menikmati peluang ekonomi yang lebih baik.

Ini kerana kelangsungan industri perikanan bukan hanya bergantung kepada hasil laut semata-mata, tetapi juga kepada kebajikan, pendapatan dan masa depan komuniti yang terlibat dalam sektor berkenaan.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat