PRN Melaka: 40.93 peratus pengundi awal keluar mengundi setakat 10 pagi – SPR

MELAKA – Sebanyak 40.93 peratus pengundi awal bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 telah menunaikan tanggungjawab masing-masing setakat pukul 10 pagi, menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Proses pengundian awal berjalan lancar dengan 31 pusat mengundi dibuka pada pukul 8 pagi bagi membolehkan 12,531 anggota keselamatan serta pasangan yang layak membuang undi.

Daripada jumlah itu, seramai 9,769 merupakan anggota tentera dan pasangan, manakala 2,762 lagi anggota polis.

Menurut tinjauan Bernama di Pusat Pengundian Dewan Serbaguna Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, anggota polis mula hadir seawal pukul 7.30 pagi dan beratur pada pukul 7.53 pagi sebelum pusat berkenaan dibuka.

Sebanyak 817 anggota polis dijadualkan mengundi di pusat yang terletak dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Keroh itu.

Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar yang tiba pada pukul 7.52 pagi turut meninjau perjalanan proses pengundian sebelum membuang undi di saluran satu pada pukul 8.42 pagi.

DUN Ayer Keroh menyaksikan pertandingan empat penjuru antara penyandang, Kerk Chee Yee daripada Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Michael Gan Peng Lam daripada Perikatan Nasional (PN), Muhammad Muhaimin Lau Abdullah daripada Parti Bersama Malaysia (Bersama) dan Mohd Hamnaim Mohamad daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Mohd Hamnaim turut dilihat meninjau proses pengundian di pusat berkenaan.

Sementara itu, di Kem Terendak, Sungai Udang, anggota tentera dan pasangan masing-masing mula hadir sebaik pusat mengundi dibuka pada pukul 8 pagi.

Sebahagian pengundi turut membawa anak-anak mereka, dengan suasana pengundian berlangsung teratur dan terkawal.

Pengundi terlebih dahulu menyemak nama serta butiran diri di kaunter yang disediakan pihak tentera sebelum menuju ke saluran masing-masing. Petugas SPR turut membantu memberikan maklumat berkaitan proses pengundian.

Tiga pusat mengundi dibuka di kem berkenaan, iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Kem Terendak I yang mempunyai enam saluran bagi 2,850 pemilih, SK Kem Terendak II dengan enam saluran bagi 2,660 pemilih serta Sekolah Menengah Kebangsaan Kem Terendak dengan lima saluran bagi 2,189 pemilih.

Kesemua pusat pengundian awal akan ditutup secara berperingkat pada pukul 12 tengah hari, 2 petang dan 5 petang mengikut jadual yang ditetapkan SPR.

Secara keseluruhan, seramai 687,697 pengundi layak menunaikan tanggungjawab pada PRN Melaka kali ini, dengan hari pengundian ditetapkan pada 14 November.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat