SEMABOK – Pas menolak keras jangkaan pemimpin Datuk Seri Rafizi Ramli kononnya hubungan politik antara Pas dan Umno tidak pernah mampu berkongsi kuasa melebihi 3 tahun.
Pesuruhjaya Pas Melaka Zulkifli Ismail menganggap kenyataan Rafizi itu lebih kepada cakap-cakap orang yang tidak sukakan penyatuan ummah antara Pas dan Umno.
“Itu pandangan daripada orang yang tak suka kepada penyatuan (Pas-Umno) ini.
“Adapun kita yang berusaha untuk mewujudkan penyatuan ini, bukan 3 tahun, kita akan pastikan selamanya. Insya-Allah,” kata Ahli Parlimen Jasin itu ketika sidang media di Pejabat Pas Negeri Melaka pada Isnin.
Dalam ceramah malam tadi, pemimpin Parti Bersama Rafizi Ramli mendakwa, sejarah kerjasama Umno dan Pas membuktikan kedua-dua parti itu tidak pernah mampu berkongsi kuasa melebihi 3 tahun.
Bahkan, Rafizi menyifatkan Umno tidak ditubuhkan untuk berkongsi kuasa.
“Bila Umno kuat dan dia memang rasa bahawa dia tak boleh berada di bawah orang lain.
“Umno tidak ditubuhkan untuk berkongsi kuasa. Itu sifat dia sampai bila-bila.
Pengajaran itu juga akan dilalui oleh Pas sekali lagi,” katanya ketika ceramah Trak Kancil di Pengkalan Batu, malam tadi.
Sementara itu, ditanya berhubung dakwaan pemimpin Amanah yang melabel Umno sebagai makan keliling.
Zulkifli menyatakan itu adalah tuduhan dan sangkaan jahat.
“Itu satu tuduhan dan sangkaan jahat yang tak sepatutnya dijadikan modal politik.
“Sebabnya kalau kita beranggapan begitu, maka kita mempunyai suatu mindset yang sangat negatif,” tegasnya.



