KUALA LUMPUR – Naib Presiden Amanah Datuk Mahfuz Omar menyifatkan Umno-Barisan Nasional (BN) sebagai “api dalam sekam, gunting dalam lipatan dan musuh dalam selimut” di dalam Kerajaan Madani kerana didakwa bermain politik dua kolam.
Mahfuz berkata Umno-BN semakin memperlihatkan sikap tidak konsisten dalam kerjasama Kerajaan Madani apabila sudah tiga kali pilihan raya negeri memilih untuk membina kerjasama politik dengan Pas dan Perikatan Nasional (PN) bagi menentang Pakatan Harapan (PH), sedangkan pada masa yang sama masih menikmati kuasa dan jawatan dalam Kerajaan Persekutuan.
“Sampai bila Umno-BN mahu bermain politik dua kolam? Di Putrajaya menjadi rakan kerajaan, tetapi di negeri bekerjasama dengan pihak yang mahu merobohkan Kerajaan Madani.
“Tindakan itu bukan lagi sekadar perbezaan strategi pilihan raya, sebaliknya menimbulkan persoalan serius tentang kejujuran, kesetiaan dan komitmen Umno-BN terhadap persefahaman yang membentuk Kerajaan Madani,” katanya dalam kenyataan media.
Bekas Ahli Parlimen Pokok Sena itu turut menyifatkan tindakan Presiden Umno yang juga Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang secara terbuka mengkritik kepimpinan Perdana Menteri sebagai janggal.
Menurut Mahfuz, perbezaan pandangan adalah hak demokrasi, tetapi seorang Timbalan Perdana Menteri juga mempunyai tanggungjawab untuk memelihara kepercayaan dan kestabilan kerajaan yang dipimpinnya bersama.
“Jangan sampai Umno-BN menjadi penumpang yang menikmati perjalanan, tetapi dalam masa yang sama menebuk lubang perahu yang membawanya,” katanya.
Justeru, Mahfuz berpandangan sudah tiba masanya Umno-BN membuat keputusan yang jelas.
Tegas beliau, jika parti itu lebih selesa menjadikan Pas dan PN sebagai rakan politik untuk menghadapi PH, mereka perlu berani menerima implikasi daripada pilihan tersebut.
“Umno-BN umpama membuka pekung di dada dan tidur sebantal mimpi lain-lain. Jangan terus menumpang kuasa di Putrajaya sambil membina kekuatan politik bersama pihak yang mahu menumbangkan rakan kerajaan sendiri,” katanya.
Dalam pada itu, beliau juga meminta Umno-BN supaya tidak membebankan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, untuk memecat mereka.
“Jika Umno-BN yang memilih jalan berbeza, Umno-BN sendirilah yang perlu berani mengambil tanggungjawab dan berundur dengan bermaruah.
“Jangan tunggu dipecat, kemudian berpura-pura menjadi mangsa politik,” katanya.
Mahfuz mengumpamakan situasi itu seperti tuan rumah yang dipaksa menghalau tetamu, sedangkan tetamu itu sendiri sudah lama mencari rumah baharu dan mengajak orang lain merobohkan rumah yang sedang didudukinya.
Menegaskan pendiriannya, Mahfuz berkata Kerajaan Madani bukan tempat untuk bermain politik dua kolam.
“Kita tidak mahu parti yang mahu berkongsi kuasa tetapi tidak mahu berkongsi kesetiaan dan tanggungjawab. Jika sudah tidak sehaluan, keluarlah dengan bermaruah.
“Jika sudah memilih jalan lain, beranilah mengaku,” katanya.
Beliau turut memberi amaran kepada pimpinan Umno-BN supaya tidak membakar rumah dari dalam, kemudian menyalahkan tuan rumah apabila rumah itu terbakar.
“Kepada pimpinan Umno-BN, jika sudah memilih jalan lain, berundurlah secara terhormat. Jangan bakar rumah dari dalam, kemudian menyalahkan tuan rumah apabila rumah itu terbakar,” bidasnya.


