Usah tuduh Umno makan keliling, tiada maruah – Shamsul Nasarah beritahu hanya mahu habiskan penggal ini bersama PH

MELAKA- Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah memulangkan paku buah keras kepada Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Abdul Samad yang menyifatkan Umno sebagai parti politik yang tiada prinsip dan harga diri kerana masih ingin kekal dalam kerajaan sedangkan pada masa sama sering mengkritik Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Shamsul Anuar yang juga Timbalan Menteri Dalam Negeri (KDN) mengingatkan Amanah bahawa Umno-Barisan Nasional (BN) adalah parti yang bebas dan merdeka sekali gus berhak menentukan apa yang terbaik untuk masa depan parti.

“Jangan terlalu mudah menuduh orang tiada harga diri. Dalam politik, kerjasama bukan bermakna hilang maruah.

“Politik ialah soal prinsip, kepentingan rakyat dan kestabilan negara. Yang tiada harga diri ialah mereka yang hanya pandai menghina orang lain tetapi gagal menghormati perbezaan pendirian

“Kenapa Kalau Umno bekerjasama dengan pihak lain dikatakan makan keliling, bagaimana pula dengan Amanah? Adakah kerjasama politik yang menguntungkan pihak sendiri dianggap berprinsip, tetapi apabila pihak lain melakukannya dianggap tiada maruah? Jangan guna dua neraca dalam politik.

“Saya ingin ingatkan Amanah. Umno- BN parti yang bebas dan merdeka. Kami berhak menentukan apa yang terbaik pada pandangan dan penilaian kami.

“Umno-BN tahu membuat keputusan berdasarkan realiti politik. Lebih baik Umno-BN bekerjasama demi kepentingan rakyat daripada bersama parti sibuk menjaja kebencian dan merasakan dirinya sahaja paling suci,” tempelak Ahli Parlimen Lenggong itu.

Justeru itu kata beliau, apa juga bentuk kerjasama politik yang Umno- BN lakukan ia bukan tanda tiada harga diri. Itu namanya kematangan dan realiti politik.

“Jadi nasihat saya, Amanah jangan terlalu sangat melabel orang lain makan keliling sedangkan politik sendiri pun tidak pernah sunyi daripada kompromi.

“Cermin diri dahulu sebelum menuding jari pada orang lain

“Amanah perlu ingat Umno-BN menjunjung Titah Tuanku Agong. Kerana itu Umno-BN berada dalam Kerajaan Perpaduan Nasional ini. Hanya sehingga habis penggal ini,” tegas Shamsul Anuar.

Sebelum itu, Khalid Samad berkata, Umno sepatutnya keluar secara sukarela tanpa perlu menunggu dipecat sekiranya parti itu merasa sudah kuat ketika ini.

Sebaliknya menurut beliau, senario ketika ini menunjukkan Umno mahu ‘makan keliling’ apabila masih ingin kekal berada dalam kerajaan.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat